suria

Lindgren, Morath Menang Peringkat Pertama LIMBC 2013

LANGKAWI: Pelumba Giant Pro XT Team Emil Lindgren dan Adelheid Morath daripada Team Sabine Spitz Haibike masing-masing memenangi peringkat pertama kategori lelaki dan wanita terbuka Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) 2013, di sini, Selasa.

Peringkat pertama "Langkawi Round Island" iaitu perlumbaan sejauh 65 kilometer mengelilingi pulau peranginan ini yang bermula di Taman Lagenda, menyaksikan Lindgren mengalahkan pemenang perlumbaan prolog ujian masa individu semalam, Maxime Marotte dari Perancis daripada pasukan BH Brsuntour KMC yang hari ini terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Lindgren mencatatkan masa dua jam 19 minit 39 saat (2:29:39s) mengatasi Marotte yang mencatatkan 2:19:40.240s manakala pelumba Jepun, Kohei Yamamoto yang mewakili Specialized Racing Team di tempat ketiga dengan catatan masa 2:19:40.249s.

Bagaimanapun, jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan masih milik Marotte.

Bagi Lindgren, pusingan pertama pada hari ini sangat sukar dan mencabar dengan keadaan trek yang berlumpur disebabkan hujan.

"Perlumbaan hari ini sukar tetapi saya tetap berpuas hati kerana catatan masa saya lebih baik berbanding sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan, di sini.

Lindgren berkata rakan sepasukannya, Fabian Giger yang merupakan juara bertahan, gagal menduduki tempat 10 teratas hari ini kerana basikalnya mengalami masalah teknikal.

"Saya cuba membantu beliau tapi beliau meminta saya menamatkan perlumbaan dan kemenangan ini juga usaha beliau," katanya.

Lindgren berkata beliau sudah bersedia untuk pusingan kedua esok dan mahu kekal berada di tempat teratas.

Bagi kategori wanita pula, Morath dari Jerman muncul juara dengan catatan masa 2:47:04.372s.

Tempat kedua milik pelumba daripada pasukan Calnago Sudtirol Team, Eva Lechner dari Itali yang merupakan pemenang perlumbaan prolog ujian masa individu semalam, dengan catatan 2:47:04.624s, manakala pelumba Calort Bike Team, Blaza Klemencic dari Slovakia di tempat ketiga dengan catatan masa 2:47:04.724s.

Walaupun sekadar di tempat kedua hari ini, Lechner kekal pemegang jersi merah jambu selaku pendahulu keseluruhan kategori wanita terbuka.

Morath yang gembira dengan pencapaian hari ini bertekad mahu mempertahankan kedudukan itu esok.

Semua pelumba terpaksa melalui empat lagi peringkat sehingga Sabtu ini sebelum juara keseluruhan LIMBC 2013 dinobatkan. - BERNAMA

Artikel Lain