suria

FAM Akan Kaji Semula Jumlah Peruntukan Kepada Pasukan Negeri Dan Kelab

JOHOR BAHRU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengkaji semula jumlah peruntukan yang diberikan kepada setiap persatuan negeri dan kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Bagaimanapun, Timbalan Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, jumlah tersebut bergantung kepada tajaan yang diterima oleh badan induk bola sepak negara itu.

"Tentulah, kalau dapat tajaan yang besar saya memang harap kita dapat berkongsi lebih besar dengan pasukan negeri dan kelab," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) di sini Ahad.

Tengku Abdullah, yang juga Presiden MHC, berkata demikian ketika ditanya mengenai perbelanjaan besar beberapa pasukan Liga Super dan Liga Perdana, yang mencecah sehingga RM10 juta semusim, bagi mendapatkan khidmat pemain profesional bagi kempen Liga-M musim depan.

Menurutnya, selain pemberian geran tahunan kepada setiap pasukan dalam Liga Super dan Liga Perdana, sebahagian besar tajaan yang diterima FAM turut digunakan untuk perbelanjaan pasukan kebangsaan.

FAM akan mencari jalan untuk menarik tajaan yang lebih besar agar peruntukan yang lebih besar dapat disalurkan kepada pasukan negeri dan kelab, katanya.

Mengikut amalan FAM, setiap pasukan Liga Super mendapat geran RM350,000 manakala Liga Perdana RM250,000 dan jika pasukan terbabit memerlukan peruntukan tambahan, maka mereka perlu mencari dana sendiri termasuk menerusi penajaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain