suria

Paralimpik: APC-ABU Jalin Kerjasama Tingkat Liputan Sukan Paralimpik Asia

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) dan Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meningkatkan liputan siaran acara dan sukan paralimpik di rantau Asia.

Rakan perkongsian ini akan memastikan aturan penyiaran bagi Sukan Para seperti Sukan Para Asia Incheon 2014 dan kejohanan-kejohanan sukan utama APC.

Usaha pertama daripada kerjasama ini ialah Sukan Para Remaja Asia (AYPG) Malaysia 2013 di Kuala Lumpur bermula 26 hingga 30 Okt ini.

ABU akan menjadi Rakan Penyiaran Sukan dan menyalurkan siaran langsung, acara kemuncak dan pakej berita serta membantu dengan pengedaran pakej berita mengenai AYPG kepada ahli-ahlinya menerusi Asiavision.

ABU dianggotai 255 ahli di 63 negara.

Dokumen MoU itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung APC, R. Malini bagi pihak APC dan ABU oleh Setiausaha Agungnya Dr Javad Mottaghi.

Majlis itu disaksikan oleh Presiden APC Datuk Zainal Abu Zarin, Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Prof Madya Dr Anuar Suun dan Naib Presiden MPM, Datuk Mah Hassan Omar.

AYPG Malaysia 2013 akan disertai oleh lebih 2,000 atlet dari 41 negara di Asia. Edisi pertama sukan itu diadakan di Hong Kong pada 2003 diikuti Tokyo, Jepun, pada 2009.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain