suria

Myanmar Sasar Pingat Emas Bola Sepak Sukan SEA

YANGON: Persekutuan Bola Sepak Myanmar menyasarkan untuk memenangi pingat emas bola sepak pada temasya Sukan SEA ke-27 yang dijadual berlangsung di sini dari 11 hingga 22 Disember.

"Berdasarkan persediaan dan prestasi pasukan kami pada Pestabola Merdeka lepas, kami berkeyakinan untuk meraih pingat emas. Bola sepak adalah sukan kegemaran kami," kata Setiausaha Agungnya Soe Moe Kyaw dalam taklimat kepada media Malaysia di sini pada Jumaat.

Delegasi 33 anggota media itu diketuai Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) Ahmad Khawari Isa. Mereka turut melawat Stadium Bola Sepak Pusat Latihan Belia (YTC).

Pasukan Bawah-23 Myanmar kalah 0-2 kepada Harimau Muda A Malaysia pada perlawanan akhir Piala Merdeka 2013 awal bulan ini. Soe Moe berkata pasukan Myanmar akan meneruskan latihan ketahanan di bawah bimbingan jurulatih Korea Selatan Park Sung Wan. "Sungguhpun undian rasmi pasukan bola sepak Sukan SEA belum dibuat, kami berharap diundi dalam kumpulan sama dengan Malaysia. Jika boleh, kami mahu mengelak bertemu Thailand dalam kumpulan sama.

"Kami juga perlu lebih berhati-hati dengan pasukan lain yang semakin meningkat seperti Vietnam atau Laos. Kami tidak boleh memandang rendah kepada pasukan ini kerana mereka juga mempunyai misi tersendiri," kata Soe Moe, yang juga pengurus pasukan bola sepak Sukan SEA.

Beliau berkata perlawanan kumpulan membabitkan Myanmar akan diadakan di Yangon manakala perlawanan separuh akhir dan akhir pula di Stadium Bola sepak Nyar Thiri. "Sejak Nay Pyi Taw menjadi pusat pentadbiran baharu kami, jumlah penduduknya tidaklah sebanyak di Yangon. Kami mempunyai lebih enam juta penduduk di Yangon dan sebahagian besar daripada mereka peminat bola sepak.

"Kami akan mengadakan perlawanan kumpulan di sini dan menyediakan pengangkutan khas ke Nay Pyi Taw buat peminat jika Myanmar mara ke perlawanan separuh akhir atau akhir," katanya. Perjalanan dengan bas atau kereta dari Yangon ke Nay Pyi Taw mengambil masa kira-kira enam jam.

Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Myanmar (MYASOC) mengumumkan bahawa undian bagi semua acara berpasukan pada Sukan SEA akan dijalankan pada 24 Oktober.

Mengenai kemudahan bagi acara bola sepak Sukan SEA, Soe Moe berkata persekutuan itu membelanjakan US$700,000 (kira-kira RM2 juta) untuk menambah baik stadium bola sepak YTC, yang akan menjadi venue acara bola sepak lelaki selain Stadium Bola Sepak Nyar Thiri di Nay Pyi Taw.

Persekutuan itu turut membina sebuah lagi stadium bola sepak baharu dengan kapasiti 35,000 penonton, bagi acara bola sepak wanita di Mandalay. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain