suria

Jurulatih Bebas Atur Jadual, Latihan - Razif

Razif Sidek
Razif Sidek
Razif Sidek

KUALA LUMPUR: Bekas pemain beregu negara, Razif Sidek tahu bagaimana untuk memenangi hati semua jurulatih badminton kebangsaan.

Pada Jumaat, Razif, yang mengetuai Malaysia memenangi Piala Thomas pada 1992, mengumumkan kuasa diberikan kepada jurulatih kebangsaan dalam penstrukturan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Walaupun adanya kuasa, jurulatih perlu bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat.

Razif yang juga ketua unit penilai BAM, berkata semua jurulatih diberi kebebasan untuk merangka program latihan dan jadual pertandingan yang akan mengemukakan rancangan mereka pada setiap suku tahun.

Misi utama mereka adalah untuk menyediakan satu pasukan yang mantap untuk kejohanan utama tahun hadapan - final Piala Thomas, Kejuaraan Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA.

Razif berkata pasukannya akan memantau dan menilai rancangan setiap jurulatih.

Setakat ini, satu-satunya ahli unit ini adalah bekas ketua jurulatih beregu, Tan Kim Her.

"Tugas kami adalah untuk menilai program jurulatih-jurulatih dan pencapaian pemain dan juga jurulatih. Kami tidak akan mengganggu perjalanan program seharian mereka.

"Kami akan memberikan pendapat dan menilai program jurulatih tetapi, jurulatih akan menjelaskan mengenai keputusan mereka. Mereka akan bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat.

"Kami akan melaporkan kepada Presiden (Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff) berhubung penilaian kami. Jurulatih mempunyai sasaran untuk dicapai dan mereka akan menyediakan rancangan mereka ke arah mencapai kecemerlangan dalam beberapa kejohanan utama," kata Razif.

Tengku Mahaleel kini bertindak sebagai Pengarah Pengurusan Bakat Kumpulan (TMG) berikutan keputusan bekas jaguh badminton negara, Tan Aik Mong yang meletak jawatan selepas 18 hari menerajui jawatan itu.

Razif berkata, dia tidak akan mencampuri keputusan jurulatih beregu lelaki untuk menggandingkan dan menyesuaikan pemain kategori itu.

Masa depan pasangan beregu ketiga negara, Lim Khim Wah-Goh V Shem masih samar tetapi Razif berkata beliau akan membiarkan jurulatih beregu lelaki, Paulus Firman dan Pang Cheh Chang untuk membuat keputusan sama ada gandingan itu harus dipisahkan atau dikekalkan.

"Jurulatih akan memutuskan siapa yang akan digandingkan tetapi mereka harus memberi penjelasan dan menetapkan sasaran terhadap gandingan baru. Semuanya terpulang kepada mereka. Kami mahu jurulatih membuat keputusan dan tidak membenarkan pemain menentukan syarat. Pemain harus menghormati setiap keputusan jurulatih mereka," katanya.

Razif berkata amat penting untuk melaksanakan satu sistem yang teratur.

"Saya percaya di bawah pendekatan baru ini, kami akan memperketatkan program latihan dan kejurulatihan. Setiap jurulatih dipilih untuk berada dalam skuad kebangsaan dan mereka tahu tanggungjawab masing-masing. Kini, tugas kami adalah untuk menggalakkan mereka menjadi kreatif dalam pendekatan mereka dan menghasilkan kejayaan. Keputusan setiap pemain dalam kejohanan antarabangsa akan membuktikan sama ada jurulatih mereka melakukan perkara yang betul," katanya.

Razif Sidek, Piala Thomas, BAM

Artikel Sebelum

Artikel Lain