suria

David Ferrer Sasar Juarai Terbuka Malaysia 2013

KUALA LUMPUR: Selepas kalah dalam tiga penyertaan sebelum ini, pemain tenis lelaki nombor empat dunia David Ferrer dari Sepanyol dilihat mampu menjuarai Terbuka Malaysia 2013 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil di sini.

Pemain berusia 31 tahun itu hanya berupaya bermain sehingga pusingan 32 pada 2009 selain mara ke suku akhir dalam tahun 2010 dan 2011.

"Saya akan melakukan yang terbaik untuk mara ke peringkat akhir selepas kecewa dalam tiga penyertaan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam bagi meraikan pemain sempena kejohanan itu di sini malam Selasa.

Majlis itu anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta dihadiri menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Ditanya mengapa beliau sanggup kembali untuk menyertai kejohanan itu buat kali keempat, Ferrer berkata "Seronok berada di sini lagi... saya sukakan makanan serta kemudahan yang terdapat di Kuala Lumpur, selain tempat menarik seperti menara berkembar (KLCC)," katanya.

Ferrer, yang mendapat 'bye' di pusingan awal, akan menentang Matteo Viola pada pusingan kedua esok selepas pemain Itali itu menewaskan Somdev Devvarman dari India pada Selasa.

Sementara itu, pemain Switzerland Stanislas Wawrinka, yang membuat penampilan sulung pada kejohanan berkenaan, berharap berupaya beraksi lebih cemerlang selepas kecewa dalam beberapa siri jelajah ATP (Association Tennis Player) tahun ini.

"Pertandingan boleh menjadi sukar kerana banyak pemain terkenal turut mengambil bahagian dalam kejohanan ini, selain itu, saya terpaksa melawan keletihan selepas menjelajah ke seluruh dunia sejak sembilan bulan lepas untuk beraksi dalam siri jelajah ATP," katanya pemain berusia 28 tahun itu.

Stanislas akan memulakan kempen dengan menentang pemenang pusingan pertama esok iaitu sama ada Marcos Baghdatis dari Cyprus dan pemain Argentina Carlos Berlocq. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aik Mong Letak Jawatan Pengarah TMG

Artikel Lain