suria

ATP Malaysia: Pemain Pilihan Ketiga Tewas, Ferrer Ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Pemain pilihan ketiga, Nicolas Almagro terkandas pada pusingan kedua, selepas tewas 6-4 6-3 kepada pemain Perancis, Andrian Mannarino pada Kejohanan Tenis Terbuka ATP Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, Rabu.

Almagro yang menduduki ranking ke-18 dunia gagal menepati sasaran untuk menang selepas meraih 'bye' pada pusingan pertama dengan mendapat tentangan sengit daripada pemain kidal berusia 25 tahun itu.

Pemain berusia 28 tahun dari Sepanyol ini kembali ke Kuala Lumpur setelah tewas pada aksi suku akhir edisi 2011.

Dikenali dengan pukulan 'offensive baseline', Almagro ternyata tidak berpuas hati dengan corak permainannya apabila memukul bola keluar gelanggang ketika Mannarino mengutip mata pada set pertama.

Sekali lagi Almagro yang sememangnya terkenal dengan sikap panas baran menghentak raketnya ketika waktu rehat.

Namun sikap Agmagro itu tidak menghalang Mannarino yang kini berada di ranking ke-63 dunia mempamerkan aksi konsisten sekaligus mencatat kemenangan straight set.

"Satu perlawanan yang sukar walaupun menang straight set. Pengalaman beraksi sejak beberapa bulan lalu turut membantu saya memenangi perlawanan ini.

"Saya akan cuba untuk meneruskan permainan yang lebih baik selepas ini," jelasnya selepas perlawanan.

Mannarino bakal bertemu rakan sepasukan, Julien Benneteau ataupun pemain dari Sepanyol, Pablo Andujar pada aksi suku akhir nanti.

Sementara itu, pemain pilihan pertama David Ferrer menepati ramalan mara ke suku akhir selepas mengetepikan pemain Itali, Matteo Viola 6-2 6-3 pada aksi sama.

Ferrer yang kini berada di ranking ke-4 dunia mengambil masa 1 jam 15 minit.

Pemain kelahiran Sepanyol ini mempamerkan aksi mantap bagi meneruskan sasarannya untuk meraih juara musim ini selepas dikecewakan pada aksi separuh akhir tahun lalu.

Ferrer bakal bertemu Joao Sousa dari Portugal ataupun Pablo Cuevas (Uruguay) pada aksi seterusnya nanti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aik Mong Letak Jawatan Pengarah TMG

Artikel Lain