suria

Tengku Abdullah Sambut Baik Tindakan Pafa Gantung Pegawai

JOHOR BARU: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyambut baik tindakan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) menggantung tugas pegawai dan petugas pasukan Liga Supernya selepas disyaki ada elemen rasuah dan sabotaj di dalam skuad itu.

Sambil mengharapkan Pafa ada bukti kukuh untuk diketengahkan, Tengku Abdullah percaya jika tiada tindakan diambil, masalah seumpama akan berulang.

"Kita hanya akan merugikan peminat-peminat. Saya percaya jika siasatan dilakukan dengan teliti, diharap masalah tidak lagi berpanjangan," katanya selepas Majlis Penyerahan Tajaan dan Santapan Tengah hari Bersama Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, di Istana Pasir Pelangi, di sini Selasa.

Tengku Abdullah diminta mengulas laporan media hari ini yang antara lain menyebut Pafa menggantung tugas semua pegawai termasuk ketua jurulatih Mohd Azraai Khor selama dua minggu susulan dakwaan ada unsur sabotaj dan rasuah apabila Perak tewas 1-6 kepada Sarawak dalam pertemuan di Kuching, Sabtu lepas.

Mengenai kedudukan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Datuk K. Rajagobal, Tengku Abdullah berkata FAM tidak akan membuat apa-apa keputusan sehingga kelayakan Piala Asia berakhir.

"Biarlah dia selesaikan tugasan, seterusnya memenuhi Indeks Petunjuk Prestasi iaitu layak ke pentas Piala Asia," katanya.

Tengku Abdullah bagaimanapun tidak menafikan FAM menerima beberapa permohonan daripada mereka yang berminat mengisi jawatan Rajagobal itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain