suria

Hoki: Malaysia Bangkit Tewaskan Hong Kong 6-0

KUALA LUMPUR: Malaysia bangkit membuka peluang memburu kejuaraan Piala Asia Wanita 2013 dengan menundukkan Hong Kong 6-0 pada aksi kedua kumpulan A di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini Ahad.

Skuad kebangsaan menguasai perlawanan dengan gerakan kemas dan melakukan serangan secara konsisten.

Rabiatul Adawiyah Mohamed membuka jaringan dengan menghasilkan gol pada minit ke-35 sebelum tamat separuh masa pertama menerusi pukulan sudut penalti.

Babak kedua perlawanan menyaksikan skuad kebangsaan terus mempamer aksi bertenaga dengan jaringan kedua oleh Fazilla Sylvester Silin pada minit ke-39 sebelum Rabiatul Adawiyah menyumbangkan gol ketiga buat pasukan negara menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-45.

Fazilla Sylvester kemudian memberikan kedudukan selesa buat pasukan menerusi gol keempat pada minit ke-58 diikuti jaringan gol padang oleh Noor Hasliza Md Ali pada minit ke-61.

Enam minit kemudian Rabiatul Adawiyah menjaringkan gol keenam buat pasukan negara.

Dalam satu lagi saingan kumpulan A, juara bertahan, China meraih kemenangan selepas menundukkan India 1-0 manakala kumpulan B menyaksikan Kazakshtan membenam Taiwan 3-0.

Sementara itu satu lagi saingan kumpulan B, Korea Selatan mengalahkan Jepun 3-0.

Saingan peringkat kumpulan kejohanan itu akan berehat sehari dan perlawanan dijadual bersambung pada Selasa ini dengan menyaksikan perlawanan China bertemu Hong Kong pada pukul 6 petang dan Malaysia akan menentang India pada pukul 8 malam bagi kumpulan A.

Kumpulan B pula menyaksikan perlawanan antara Kazakshtan dan Jepun pada pukul 6.30 petang dan Korea Selatan menentang Taiwan pada pukul 8 malam.

Dalam pada itu jurulatih kebangsaan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata beliau mahu skuad negara mengekalkan momentum bertenaga untuk bertemu India pada perlawanan seterusnya.

"Saya berpuas hati dengan prestasi pemain hari ini, tetapi kami banyak melepaskan peluang jaringan gol pada minit awal perlawanan.

"Pemain posisi penyerang perlu memperbaiki kelemahan terutama dari segi menjaringkan gol sebelum bertemu India pada perlawanan seterusnya nanti. Esok, kami ada masa sehari untuk berlatih untuk memperkuatkan bahagian serangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kali terakhir Malaysia bertemu India ialah pada Kejohanan Liga Dunia dengan kekalahan 3-0. - BERNAMA

Artikel Lain