suria

Tenis: Tiga Pemain Negara Dapat 'Wild Card' Untuk Kejohanan Malaysia 2013

KUALA LUMPUR: Tiga pemain tenis negara memperoleh tiket 'wild card' pada kejohanan tenis Jelajah Dunia ATP: Terbuka Malaysia 2013 yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bulit Jalil bermula Sabtu sehingga 29 September ini.

Mereka adalah pemain tenis nombor satu negara, Syed Mohd Agil Syed Naguib, Mohd Assri Merzuki dan Si Yew Ming.

Syed Agil yang akan bergandingan dengan pemain muda dari India, Yuki Bhambri dalam kategori beregu berkata kejohanan itu merupakan tempat dan peluang yang bagus untuknya mencari pengalaman.

"Ini merupakan satu pengalaman yang bagus kerana saya dapat berlawan dengan pemain profesional namun saya akan memberikan mereka tentangan sebaik mungkin bagi membuktikan kebolehan saya," katanya pada sidang media kejohanan itu, di sini Jumaat.

Syed Agil berkata, beliau akan melakukan yang terbaik dan berharap mampu melepasi pusingan pertama dan terus fokus untuk ke pusingan seterusnya.

Sementara itu, pemain muda Mohd Assri dan Si yang sudah lima kali menyertai kejohanan itu berpendapat kejohanan kali ini akan memberi mereka pengalaman untuk berdepan cabaran genting pada masa hadapan.

Pemain lain yang akan bersaing untuk merebut hadiah US$984,300 (RM3.11 juta) pada kejohanan ini termasuk David Ferrer dari Sepanyol dan Stanislas Wawrinka dari Switzerland. - BERNAMA

Artikel Lain