suria

Lions XII Hidupkan Peluang Ke Suku Akhir Piala Malaysia

KUALA LUMPUR: Pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII menghidupkan peluang ke suku akhir Piala Malaysia 2013 selepas menumpaskan juara Liga Perdana, Sarawak 1-0 dalam aksi tunggal kumpulan D di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam Rabu.

Kemenangan tersebut membolehkan juara Liga Super itu merampas tangga kedua dari Perak dengan berkongsi tujuh mata namun dibezakan oleh jumlah jaringan.

Keputusan tersebut bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Sarawak yang masih kekal mendahului kumpulan D dengan turut mengumpul tujuh mata.

Pada perlawanan berkenaan, pasukan Lions XII kendalian V. Sundramoorthy mempunyai beberapa peluang terhidang untuk menjaringkan gol namun dikecewakan oleh kekebalan pertahanan skuad 'Ngap Sayot' selain ketangkasan penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani.

Bersambung separuh masa kedua, pasukan tuan rumah melancarkan serangan bertali arus ke kubu Sarawak dan mereka akhirnya berada di hadapan pada minit ke-63.

Gol tersebut berpunca daripada hantaran pertahanan, Baihakki Khaizan yang melakukan larian solo sebelum mengumpan kepada penyerang, Fazrul Nawaz yang melakukan sepakan leret ke sebelah kanan penjuru gol Sarawak sekali gus menceriakan penyokong tuan rumah.

Tersentak dengan gol tersebut, Sarawak cuba melakukan serangan balas namun dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Lions XII, Muhammad Izwan Mahbud.

Percubaan terbaik skuad 'Ngap Sayot' hadir pada minit ke-78 menerusi percubaan penyerang import, Muamer Salibasic namun sepakan kaki kirinya sedikit melepasi pintu gol sebelah kanan pasukan tuan rumah.

Kedua-dua pasukan kemudian saling melancarkan serangan balas namun gagal menemui sentuhan jaringan sehingga tiupan wisel terakhir perlawanan oleh pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain