suria

Lima Lagi Bintang Antarabangsa Sah Sertai Sime Darby LPGA Malaysia

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh kurang sebulan lagi, penganjur Sime Darby LPGA Malaysia 2013 pada Rabu mengesahkan penyertaan lima lagi bintang golf antarabangsa pada kejohanan itu yang akan berlangsung di East Course, Kuala Lumpur Golf and Country Club.

Menyertai kumpulan pemain glof terkemuka yang termasuk juara bertahan dan pemain nombor satu dunia Inbee Park dari Korea Selatan ialah Karrie Webb (nombor tujuh) dari Australia, Catriona Matthew (10) dari Scotland, Yani Tseng (19) dari Taiwan, Chie Arimura (46) dari Jepun dan Michelle Wie (86) dari Amerika Syarikat.

Wie, 23, pemain pilihan dan paling muda pernah layak ke Kejohanan Amatur Persatuan Golf Amerika Syarikat pada usia 10 tahun, dalam kenyataan hari ini berkata:

"Saya berasa seronok setiap kali datang ke Malaysia. Saya mendapat banyak tenaga daripada penonton kerana mereka sangat mengalu-alukan dan sentiasa memberikan semangat. Saya banyak berlatih tahun ini dan telah membuat banyak peningkatan dan saya berharap dapat memberikan sesuatu yang mengembirakan peminat saya pada tahun ini."

Anggota World Golf Hall of Fame, Webb, yang berjaya menduduki tempat ketiga dalam kejohanan tahun lepas dan meraih tempat pertama dalam ShopRite LPGA Classic pada Jun lepas, berkata: "Saya berasa amat teruja untuk kembali beraksi dalam Sime Darby LPGA. Saya bermain agak cemerlang tahun lepas, jadi saya berharap meneruskan kecemerlangan ini di Kuala Lumpur."

Seorang lagi pemain pilihan, Yani, 24, yang merupakan pemain termuda pernah memenangi lima kejohanan utama dan menduduki tempat pertama dalam Ranking Golf Wanita Dunia untuk 109 minggu berturut-turut dari 2011 hingga 2013 berkata:

"Sebagai orang Taiwan, saya gemar bermain di negara-negara Asia kerana ia mengingatkan saya kepada kampung halaman saya. Dan ini tidak terkecuali dengan Sime Darby LPGA. Saya hanya mempunyai kenangan indah mengenai Malaysia.

"Saya banyak berlatih dan saya berharap saya mampu melakukan lebih banyak birdie nanti, dan mendapat cabaran baik. Saya juga tidak sabar untuk berjumpa peminat di Malaysia dan seperti kebiasaannya akan mendapat sokongan baik sepanjang empat hari kejohanan."

Dengan menawarkan US$2 juta (RM6.5 juta), kejohanan Sime Darby LPGA Malaysia tahun ini dari 10-13 Okt, menawarkan hadiah paling lumayan dalam kejohanan setakat ini. Edisi keempat kejohanan akan menyaksikan 72 pemain akan bersaing.

Pemain terdiri 62 pemain terbaik Jelajah LPGA Tour dan 10 pemain tajaan termasuk Cindy Lee-Pridgen dan Michelle Koh dari Malaysia yang memenangi Kejohanan Kelayakan Tempatan dan Serantau, awal bulan ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain