suria

Khairy Tidak Kisah Siapa Jurulatih Baharu Harimau Malaya

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa beliau tidak kisah siapa yang bakal membimbing skuad Harimau Malaya asalkan jurulatih berkenaan mampu menaikkan kembali prestasi pasukan negara.

Khairy, bagaimanapun berharap pemilihan jurulatih baharu skuad Harimau Malaya itu sama ada dari Malaysia atau luar negara, dibuat secara teliti andai kontrak Datuk K. Rajagobal selaku pengendali pasukan kebangsaan tidak dilanjutkan tahun depan.

"Sesiapa pun yang dilantik menggantikan jurulatih kebangsaan sekarang, saya harap pemilihan itu dibuat secara terbuka....maksudnya kita menawarkan jawatan tersebut dan kita terima sesiapa sahaja yang memohon.

"Saya rasa jika jurulatih berkualiti seperti (Philippe) Troussier tidak memohon, kita sendiri akan pergi cari. Namun FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bentangkan kepada jawatankuasa yang akan memilih berdasarkan kepada kekuatan jurulatih yang dikenal pasti ataupun mereka yang memohon supaya kita dapat yang terbaik untuk jawatan itu," katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini Rabu.

Khairy diminta mengulas laporan akhbar pada Rabu mengenai spekulasi bahawa FAM sanggup menawarkan gaji AS$18,000 (RM59,000) sebulan kepada Troussier untuk membimbing skuad kebangsaan menggantikan Rajagobal.

Spekulasi itu kini bertiup kencang dan FAM dikatakan bersedia berbuat demikian kerana percaya Troussier, 58, yang pernah mengendalikan skuad kebangsaan Jepun ketika negara itu menjadi tuan rumah bersama Korea Selatan pada Piala Dunia 2002, mengembalikan semula maruah Harimau Malaya.

Begitu pun, jurulatih dari Perancis itu dikatakan hanya akan menerima jawatan tersebut jika ditawarkan pendapatan tahunan sebanyak AS$1.52 juta (RM5 juta) yang menyaksikan dia bakal meraih gaji bulanan AS$126,805 (RM416,000).

Sebelum ini, masa depan Rajagobal terus menjadi tanda tanya apabila FAM dilaporkan menerima 30 permohonan daripada pengendali tempatan mahupun luar negara yang berminat untuk mengambil alih skuad Harimau Malaya.

Antara nama yang disebut sebagai pengganti Rajagobal ialah bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic; jurulatih Sarawak, Robert Alberts; pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee dan bekas jurulatih Harimau Malaya, B. Sathianathan.

Rajagobal kini masih mempunyai tugasan bersama Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Beliau yang masih memiliki kontrak sehingga 31 Dis depan, telah ditetapkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) bagi membantu Harimau Malaya layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

Dalam perkembangan lain, Khairy mahu skuad Harimau Muda A kendalian Kim Swee mengekalkan prestasi terbaik mereka dan memperluaskan sasaran untuk cemerlang di peringkat Asia dan tidak tertumpu kepada rantau Asean semata-mata.

"Sasaran kita sudah pasti mahu mempertahan pingat emas di Sukan SEA Myanmar (Disember ini) tetapi saya rasa kita tidak sepatutnya terbatas di situ sahaja.

Kita perlu mempunyai cita-cita dan matlamat di peringkat Asia.

"Saya mahu lihat pasukan kebangsaan bukan sahaja berjaya di Sukan SEA tetapi menampilkan prestasi cemerlang pada Sukan Asia (di Incheon, Korea Selatan) tahun depan," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berpuas hati dengan pencapaian skuad Harimau Muda yang berjaya menjuarai Pestabola Merdeka, Sabtu lepas.

Skuad kendalian Kim Swee itu menewaskan Myanmar 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain