suria

Nicol Semakin Hampiri Gelaran Kelapan Terbuka Malaysia

PETALING JAYA: Pemain nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David semakin menghampiri kejuaraan Terbuka Malaysia CIMB 2013 buat kali kelapan selepas melangkah ke separuh akhir di sini malam Jumaat.

Nicol, yang gagal mempertahankan kejuaraan pada edisi lepas, mengalahkan rakan senegara Low Wee Wern 11-4, 11-6, 3-11 dan 11-5 pada saingan suku akhir di gelanggang kaca di pusat membeli-belah 'The Curve', Mutiara Damansara, di sini.

Pemain berusia 30 tahun itu akan berdepan dengan pemain Perancis, Camille Serme pada separuh akhir esok.

"Wee Wern bermain dengan baik sekali dan mula menyesuaikan diri dengan gelanggang pada set ketiga," kata Nicol kepada pemberita selepas perlawanan itu.

"Saya tidak sabar untuk satu lagi perlawanan yang baik esok. Bagaimanapun Camille merupakan pemain yang kuat dan penuh berazam," kata Nicol yang kalah mengejut kepada bintang muda Mesir, Raneem El Weleily, pada final tahun lepas.

Pada perlawanan suku akhir sebelum itu, Camille, pemain nombor 12 dunia, mengambil masa 50 minit sebelum mengalahkan pemain England, Sarah Jane Perry dengan keputusan 11-8, 9-11, 11-3 dan 11-9.

Dalam perlawanan suku akhir lelaki, juara bertahan Tarek Momen dari Mesir hanya mengambil masa 20 minit untuk menempah tiket ke separuh akhir apabila menyingkirkan rakan senegara Mazen Hesham Ga Sabry dengan keputusan straight set 11-3, 11-9 dan 11-6. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Acara Gusti Kembali Ke Olimpik

Artikel Lain