suria

Jualan Tiket Final Pestabola Merdeka 2013 Laris

KUANTAN: Jualan tiket untuk aksi final Kejohanan Pestabola Merdeka 2013 antara Malaysia dan Myanmar di Stadium Darul Makmur, malam esok mendapat sambutan hangat.

Tinjauan Bernama di stadium berkenaan mendapati orang ramai mula berpusu-pussu ke kaunter jualan tiket sekitar pukul 5 petang untuk mendapatkan tiket dengan sebahagian daripada mereka membeli secara pukal.

Bagi Khalid Sadikin, 50 beliau teruja untuk melihat aksi skuad Harimau Muda A di hadapan mata sendiri selepas sekadar menonton di kaca televisyen pada tiga perlawanan terdahulu disebabkan kesibukan bekerja.

"Memandangkan esok saya tidak bekerja, saya memutuskan untuk membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir bersama-sama tiga anak lelaki saya," katanya yang merupakan anak jati Kuantan.

Beliau yang bekerja sendiri turut menyasarkan skuad Harimau Muda A mampu mencatatkan kejayaan menundukkan Myanmar dengan jaringan 2-0.

Berkongsi nada yang sama ialah seorang suri rumah, Mahani Musa, 43 yang berharap skuad Harimau Muda A kendalian Ong Kim Swee mampu melakar kemenangan pada perlawanan itu.

"Saya hanya berkunjung ke stadium ketika Malaysia bertemu Thailand memandangkan harga tiket ketika itu sudah diturunkan kepada kadar yang lebih rendah.

"Sebelum ini, saya hanya menonton dua perlawanan terdahulu di rumah...saya berharap Malaysia mampu menang dengan jaringan 1-0," katanya.

Sementara itu, salah seorang penjual tiket, yang enggan dikenali, berkata memandangkan jualan tiket mendapat sambutan hangat, pihaknya terpaksa mengehadkan empat tiket setiap seorang.

Harga tiket bagi tempat duduk bebas dan utama telah diturunkan masing-masing kepada RM20 dan RM50 berbanding RM38 dan RM68 sebelum ini.

Perlawanan tempat ketiga antara Singapura dan Thailand bermula pukul 5.30 petang diikuti perlawanan akhir pada 8.45 malam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Acara Gusti Kembali Ke Olimpik

Artikel Lain