suria

Pestabola Merdeka: Tugas Penting Harimau Muda A Pada Sabtu

KUANTAN: "Saya jangkakan satu perlawanan yang sukar esok (Sabtu)," tegas ketua jurulatih Bawah 23 Tahun negara, Ong Kim Swee.

Menurut jurulatih berusia 42 tahun itu, pertemuan final dengan Myanmar bakal memberi satu persembahan sengit selepas mereka tewas 2-1 pada perlawanan awal Isnin lalu.

"Sudah tentu mereka mahu membalas dendam di atas kekalahan sebelum ini. Pun begitu kita tidak boleh ambil kira keputusan lalu.

"Ia merupakan cabaran final ini yang paling sengit," jelasnya pada sidang media pasukan, Jumaat.

Mengenai barisan-barisan pemain yang bakal diturunkan, Kim Swee mengakui masih belum fikir siapa yang bakal bermain di pentas akhir nanti.

"Sejujurnya belum ada lagi senarai pemain, saya akan lihat pada sesi latihan nanti dan kesebelasan pemain akan diketahui sebelum sepak mula.

"Pun begitu, mana-mana pemain yang akan diturunkan nanti, saya harap mereka beraksi dengan baik dan tahu apa yang perlu dilakukan.

"Paling penting, kita perlu berhati-hati dengan pemain-pemain Myanmar terutamanya kapten pasukan, no. 7 (Kyaw Zayar Win) no. 8 (Kyi Lin), no.10 (Kyaw Ko Ko) dan no.16 ( Thein Than Win).

"Sudah tentu kami akan merancang strategi untuk menyekat mereka," katanya.

Mengenai dua pemainnya, Junior Eldstal yang mengalami cirit-birit manakala pemain tengahnya, Wan Zack Haikal Wan Nor yang cedera di buku lali, Kim Swee menjelaskan keadaan mereka masih belum pasti.

"Saya tidak pasti sama ada mereka boleh bermain atau tidak. Tetapi melihat perkembangan dua pemain itu, saya percaya sukar untuk mereka kembali pulih sepenuhnya menjelang perlawanan nanti," jelas Kim Swee.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata, sekiranya skuad negara berjaya memenangi aksi final ini, ia adalah sesuatu yang bermakna bukan sahaja kepada pasukan tetapi untuk Malaysia.

"Ia dianggap sebagai hadiah kepada negara yang bakal menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini. Kita mahukan trofi ini sekaligus dapat meraikan bersama-sama, seluruh rakyat Malaysia.

"Dan satu lagi, sekiranya kita menang ia juga adalah semangat untuk meningkatkan tahap keyakinan kepada pasukan sebelum beraksi di Sukan Sea nanti," jelasnya.

Sebagai rekod, sepanjang kejohanan edisi ke-41 ini, skuad Kim Swee telah mencatat rekod bersih tanpa kalah sebelum mara ke final.

Menang 1-0 ke atas Singapura, 2-1 tewaskan Myanmar serta 3-0 mengetepikan Thailand.

Kali terakhir skuad Malaysia mara ke final pada tahun 2008 yang menyaksikan mereka tewas 6-5 di tangan Vietnam melalui sepakan penalti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bach Dipilih Presiden Baru OIC

Artikel Lain