suria

Skuad Renang Negara Mampu Bawa Pulang Dua Pingat Emas Dari Palembang - Asum

KUALA LUMPUR: Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) yakin skuad renang negara mampu membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat emas dari Sukan Perpaduan Islam Ketiga di Palembang, Indonesia yang berlangsung 22 September hingga 1 Oktober ini.

Setiausaha Kehormat Asum Edwin Chong berkata sasaran itu berdasarkan prestasi semasa kesemua 15 perenang elit negara yang dipilih untuk menggalas cabaran pada temasya itu.

"Sudah lama kita tidak menyertai Sukan Perpaduan Islam apabila edisi kedua temasya itu di Tehran, Iran pada 2010 dibatalkan. "Asum yakin dengan kemampuan skuad renang negara untuk mencapai sasaran dua pingat emas namun tidak meletakkan sasaran secara khusus untuk acara dan atlet mana," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Edwin berkata kesemua perenang itu kini giat menjalani latihan fasa akhir di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil. "Perenang negara kini bersedia sepenuhnya untuk beraksi di Palembang dan saya harap mereka tidak berdepan banyak masalah bila berada di sana nanti," katanya.

Sebelum ini, Malaysia turut meletakkan sasaran satu pingat emas menerusi acara wushu pada temasya berkenaan.

Selain renang dan wushu, seramai 136 atlet negara akan mengambil bahagian dalam lapan acara lain iaitu olahraga, badminton, bola tampar pantai, karate, taekwondo, tenis, angkat berat dan memanah.

Malaysia menduduki tempat ketujuh keseluruhan selepas meraih lima pingat emas, lima perak dan enam gangsa pada edisi sulung temasya di Arab Saudi pada 2005.

Penganjuran edisi kedua temasya di Tehran, Iran pada 2010 dibatalkan Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF) apabila negara tuan rumah gagal menyediakan kemudahan sewajarnya. -BERNAMA

Artikel Lain