suria

Pestabola Merdeka: Kim Swee Bakal Pening Kepala

KUANTAN: Ketua jurulatih, Ong Kim Swee pastinya pening kepala selepas ini bagi pemilihan skuad ke Sukan Sea selepas kesemua pemain-pemainnya telah mempamerkan aksi terbaik pada Pestabola Merdeka setakat ini.

Pada perlawanan ketiga ketika menentang Thailand Rabu malam, Kim Swee telah menyenaraikan muka-muka baharu berbanding perlawanan pertama dan kedua sebelum ini.

"Pemain-pemain telah membuktikan mereka boleh bermain bila-bila masa walaupun pertama kali diturunkan.

"Ini tanda positif yang mana kita banyak pilihan. Tahniah kepada semua pemain yang telah bersungguh-sungguh.

"Dan saya tahu semua mahu merebut tempat dan ini satu saingan yang sihat. Pastinya saya pening kepala selepas ini, tapi 'takpe' terus peningkan kepala saya, asalkan kita ada tujuan positif," jelasnya kepada media mengenai prestasi skuadnya ketika bertemu Thailand dengan kemenangan 3-0.

Dalam pada itu, Kim Swee turut mengulas penyerang Mohd Rozaimi Ab Rahman yang telah menjaringkan dua gol pada perlawanan tersebut.

"Kita kenali Rozaimi dengan mempunyai sentuhan gol yang baik. Tetapi setiap perlawanan berbeza di mana kita perlu memikirkan aspek tentang kekuatan lawan.

"Walaupun dia telah menjaringkan dua gol, tetapi peratusan daripada apa yang perlu dilakukan sebelum atau apabila kita bertahan memainkan peranan penting sesebuah pasukan.

"Manakala Mohd Nasir Basharuddin yang menjaringkan gol pertama pasukan mempamerkan satu prestasi yang baik dari segi sikap yang bekerja keras dan sempat menjaringkan gol," tambahnya.

Mengenai perlawanan akhir bertemu Myanmar, Kim Swee mengakui pastinya satu aksi yang sukar.

"Sudah tentu mereka ingin membalas dendam di atas kekalahan pada pusingan pertama sebelum ini, tetapi kita akan sediakan strategi tertentu dan pemain harus memberi fokus dalam aspek taktikal," katanya.

Artikel Lain