suria

Nadal Tumpaskan Pilihan Utama Djokovic Untuk Menangi Terbuka AS Dalam Empat Set

Rafael Nadal bersama trofi kemenangannya selepas menjuarai tenis Terbuka Amerika Syarikat (perseorangan lelaki) menewaskan Novak Djokovic, awal pagi Selasa. -foto AFP
Rafael Nadal bersama trofi kemenangannya selepas menjuarai tenis Terbuka Amerika Syarikat (perseorangan lelaki) menewaskan Novak Djokovic, awal pagi Selasa. -foto AFP
Rafael Nadal bersama trofi kemenangannya selepas menjuarai tenis Terbuka Amerika Syarikat (perseorangan lelaki) menewaskan Novak Djokovic, awal pagi Selasa. -foto AFP

NEW YORK: Dalam tempoh tiga jam dua puluh satu minit, Rafael Nadal, pilihan kedua Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat menumpaskan pilihan utama, Novak Djokovic untuk muncul sebagai juara buat kali kedua dalam kariernya di sini dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$3.2 juta.

Pemain asal Sepanyol berusia 27 tahun itu menang 6-2, 3-6, 6-4, 6-1.

Nadal yang baru sahaja kembali aktif Februari lalu selepas berehat panjang selama tujuh bulan akibat kecederaan lutut kini telah mengutip 13 kejuaraan Grand Slam - kurang satu di belakang legenda Pete Sampras dan empat di belakang Roger Federer.

Ini meletakkannya dalam senarai ketiga paling banyak memenangi kejuaraan Grand Slam di dunia.

Grand Slam merujuk kepada empat kejohanan utama dunia iaitu Terbuka Australia, Terbuka Perancis, Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat.

Dari sudut permainan Djokovic adalah pemain yang serba lengkap tetapi kekuatan mental Nadal mengatasi segala-galanya dan ini dapat disaksikan pada set terakhir apabila Djokovic menyerah kalah dengan begitu mudah tanpa tentangan sepertimana tiga set sebelum itu.

Dari segi durasi perlawanan juga, perlawanan akhir ini tidak dapat mengatasi epik pada perlawanan akhir Terbuka Australia yang berlangsung selama lima jam lima puluh tiga minit.

Namun, perlawanan ini juga memiliki magiknya yang tersendiri - pada set kedua mereka mencatatkan rali terpanjang dalam sejarah iaitu sebanyak 54 kali pukulan tanpa henti iaitu pada break point 3-2.

Para penonton kemudiannya memberikan 'standing ovation' kepada kedua-dua pemain hebat itu.

Para pengulas menyifatkan kemenangan Nadal sebagai sangat luar biasa selepas ramai yang meramalkan kariernya telah berakhir selepas tidak muncul atas gelanggang selama tujuh bulan.

Tetapi sejak kembali Februari lalu, dia telah memenangi kejuaraan demi kejuaraan dan bakal merampas kembali kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia daripada Djokovic.

Djokovic yang lebih dikenali sebagai 'The Joker' kerana sifat kelakarnya sama ada di dalam atau di luar gelanggang nampaknya kehilangan segala kelakuan humornya pada hari ini.

Nadal, Djokovic, Terbuka AS

Artikel Sebelum

Ukraine-England Terikat 0-0

Artikel Berikut

Acara Gusti Kembali Ke Olimpik

Artikel Lain