suria

Pestabola Merdeka: Malaysia Tempah Tiket Ke Final

KUANTAN: Pasukan Malaysia berjaya mencatat kemenangan kedua Pestabola Merdeka apabila menewaskan Myanmar 2-1 di Stadium Darul Makmur, Isnin.

Kemenangan ini secara rasminya melayakkan skuad bimbingan Ong Kim Swee ini ke final selepas mengumpul enam mata daripada dua perlawanan biarpun masih lagi berbaki satu perlawanan bertemu Thailand Rabu ini.

Kedua- dua pasukan mula mengatur serangan sejak awal permainan dimulakan apabila penyerang kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Nor berjaya membolosi benteng pertahanan lawan pada minit kedua permainan, namun cubaan itu gagal tepat ke pintu gol.

Namun penyerang kelahiran Pahang itu dilayangkan kad kuning pada minit ke-12 kerana menerjah pemain Myanmar.

Pada minit ke-20, Md Fadhli Shas gagal menyempurnakan bola muntah hasil sepakan percuma oleh Wan Zack Haikal yang terkena palang.

Selepas bertungkus-lumus cuba menyerang kubu pertahanan, pasukan Myanmar memecah kebuntuan dengan gol pertama perlawanan apabila bola yang ditepis penjaga gol negara, Mohd Firdaus Muhammad hasil daripada cubaan pemain Myanmar, Nay Lin Tun terkena betis Mohd Zubir Mohd Azmi sekaligus bola memasuki gawang sendiri pada minit ke-37.

Selepas gol pertama, aksi skuad muda negara ini sedikit goyang sebelum kembali ke rentak permainan.

Bersambung pada babak kedua, Harimau Muda tidak berputus asa mengatur strategi yang lebih baik dengan melakukan serangan demi serangan namun benteng pertahanan anak buah Park Sung Hwa itu jelas sukar ditembusi.

Skuad negara berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64 hasil sepakan percuma Wan Zack Haikal sebelum Junior Eldstal menanduk ke arah gawang dan disempurnakan oleh kapten pasukan, Mohd Irfan Fazail.

Sebelas minit selepas itu, stadium sekali lagi bergegar dengan sorakan lebih kurang 3,000 orang penyokong apabila sepakan percuma yang diambil Wan Zack Haikal tepat ke pintu gol.

Pada masa tambahan, ayam tambatan Myanmar, Kyi Lin dilayangkan kad merah gara-gara membantah keputusan pengadil.

Selepas ini, skuad negara bakal mengharungi perlawanan ketiga bertemu Thailand bagi melengkapkan jadual perlawanan sebelum ke final.

SENARAI PEMAIN

Malaysia

Md Fadhli mohd Shas, D.Saarvindran Mohd Irfan Fazail (Kapten), A.Thamil Arasu, Wan Zack Haikal Wan Nor, Junior Eldstal, Mohd Zubir Mohd Azmi, Nik Mohd Sharul Azim, Mohd Azrif Nasrulhaq, Muhammad Nazmi Faiz, Mohd Izham Tarmizi

Myanmar

Pyaye Phyo Aung, Zaw Min Tun, Aung Hein Kyaw, Kyaw Zayar Win, Kyi Lin, Kyaw Ko Ko, Ye Lin Aung, Phyo Ko Ko Thein, Thet Naing, Nay Lin Tun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain