suria

Zulfahmi Perlu Lebih Agresif Dalam Baki Enam Perlumbaan

KUALA LUMPUR: Corak pemanduan lebih agresif dikenal pasti untuk meningkatkan prestasi pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin dalam baki enam perlumbaan Kejohanan Motosikal Dunia musim ini.

"Mungkin akibat daripada cara pemanduan saya dalam perlumbaan sebelum ini (awal musim 2013), saya tidak boleh pergi laju dengan jentera yang ada sekarang.

"Saya baru mengenal pasti bahawa banyak yang boleh dilakukan dengan cara pemanduan dan tidak hanya bergantung kepada motosikal sahaja. Tumpuan kini adalah 100 peratus kepada cara tunggangan saya. Jentera yang ada sekarang ini memerlukan corak pemanduan yang agresif," katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran Perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia 2013 di sini, Sabtu.

Majlis pelancaran edisi ke-23 Grand Prix Motosikal Malaysia itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan.

Menurut Muhammad Zulfahmi, beliau menghadapi kesukaran untuk mengaplikasikan corak pemanduan musim lepas dengan jentera baharu musim ini.

Mengenai perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia yang akan berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober depan, beliau berharap dapat memberi persembahan yang terbaik di hadapan penyokong tempatan.

"Untuk dua tahun berturut-turut (2011 dan 2012), saya berjaya memperolehi keputusan yang baik di Litar Sepang dan saya berharap dapat mengulanginya lagi kali ini.

"Harap-harap keajaiban akan berlaku di sini (Litar Sepang)," katanya, sambil menambah ketenangan adalah kunci utama mengatasi segala tekanan.

"Tekanan itu sentiasa sahaja ada tetapi saya kena sentiasa tenang sebab saya tahu di mana kelemahan saya. Yang paling penting sekarang ialah cara bagaimana untuk saya memperbaiki prestasi," katanya.

Menurut Muhammad Zulfahmi, kehadiran empat lagi pelumba Malaysia Amirul Hafiq Azmi dan Husni Aizat Abdul Malik (Moto3), Azlan Shah Kamaruzaman dan Hafizh Syahrin Abdullah (Moto2) pada perlumbaan di Litar Sepang akan memberi motivasi kepada dirinya.

Bagaimanapun, fokus pelumba berusia 21 tahun itu ialah dua perlumbaan sebelum Grand Prix Motosikal Malaysia iaitu di Litar Misano, San Marino (15 September) dan Litar Aragon, Sepanyol (29 September). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Skuad England Tanpa Sturridge

Artikel Berikut

Artikel Lain