suria

Pestabola Merdeka: Malaysia Menang 1-0 Ke Atas Singapura

KUANTAN: Perlawanan pembukaan Pesta Bola Merdeka 2013 menyaksikan skuad Malaysia yang dibarisi pemain-pemain Harimau Muda A berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan Singapura pada aksi di Stadium Darul Makmur, Sabtu.

Bermain dalam keadaan padang basah selepas hujan lebat sejak pukul 4 petang tidak menjadi penghalang skuad negara mendominasikan permainan.

Skuad Singapura yang dibimbing V.Sundram Moorthy dilihat lebih menggunakan corak bertahan memandangkan keadaan padang yang licin.

Dalam pada itu, percubaan Mohd Irfan Fazail pada minit ke-15 nyaris menewaskan penjaga gol Singapura, Rudy Khairullah Adi Negara.

Penyerang negara, Wan Zack Haikal turut melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang lawan dengan gerakan lincah, namun dihalang barisan pertahanan Singapura.

Kedua-dua pasukan mengikat kedudukan tanpa jaringan pada babak pertama.

Gagal mencuri sebarang mata pada separuh pertama, skuad kendalian Ong Kim Swee ini bangkit mengatur strategi baru yang lebih pentas sekaligus menyaksikan tendangan Thamil Arasu tepat ke arah gol hasil bantuan Junior Eldstal pada minit ke-46.

Walaupun hujan renyai-renyai, babak kedua permainan semakin rancak daripada dua-dua belah pasukan, namun peluang menambah gol lebih berpihak kepada skuad negara.

Namun agak malang bagi pasukan negara selepas mensia-siakan peluang untuk menambah satu lagi jaringan gagal dilaksanakan apabila sepakan penalti yang dilakukan oleh Wan Zack Haikal terlalu perlahan menuju ke arah penjaga gol.

Sepakan penalti tersebut diberikan kepada skuad Malaysia selepas pemain Singapura, Muhammad Afiq Yunos (m-54) menggunakan tangan untuk menyelamatkan bola yang ditanduk Mohd Fadhli Mohd Shas di depan pintu gol sekaligus dia dilayangkan kad merah.

Biarpun hanya tinggal sepuluh pemain, skuad Singapura tidak memberi laluan mudah kepada Harimau Muda A walaupun serangan demi serangan dilancarkan.

Aksi mantap penjaga gol lawan, Rudy menyekat impian skuad negara untuk menambah jaringan.

Sehingga tamat permainan, keputusan kekal 1-0.

Skuad negara bakal berdepan dengan pasukan Thailand pada Isnin ini.

SENARAI PEMAIN:

Malaysia:

Reuben Thayaparan, Mohd Fadhli Sha, Saarvindran A/L Devandran, Mohd Irfan Fazail, Muhammad Ferris Danial, Thamil Arasu Ambumamee, Wan Zack Haikal Wan Noor, S. Sivanesan, Putera Nadher Amarhan, Mohd Zubir Mohd Azmi, Nik Mohd Sharul Azim, Mohd Izham Tarmizi.

Singapura:

Muhammad AfiqYunos, Madhu M Mohana, Quak Jun Yi, Muhammad Hafiz Abu Sujad, Muhammad Fazli Ayob, Sheikh Abdul Hadi SH Othman, Muhammad Zulfahmi MD Ariffin, Muhammad Syafiq MD Zainal, Muhammad Aqhari Abdullah, Muhd Izzudin Shafiq Yacob, Muhammad Syazwan Buhari.

Artikel Sebelum

Skuad England Tanpa Sturridge

Artikel Berikut

Artikel Lain