suria

Kebajikan Pemain Sepak Takraw Negara Jadi Keutamaan - Khairy

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memberi jaminan kebajikan pemain sepak takraw negara tetap menjadi keutamaan walaupun kementerian memutuskan untuk mengkaji semula peruntukan yang disalurkan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Katanya beliau menerima laporan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) bahawa hasil prestasi sepak takraw kebangsaan tidak setimpal berbanding pelaburan yang dibuat oleh kerajaan terhadap sukan itu.

"Namun, saya ingin tegaskan bahawa kebajikan atlet akan tetap dijaga (oleh kementerian) tetapi soal peruntukan yang disalurkan kepada PSM akan dikaji semula," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasan tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) di sini, Selasa.

Pada Isnin, Khairy berkata kementerian mengambil tindakan menyekat semua peruntukan kewangan kepada badan sukan berkenaan selepas skuad negara dipalit aib berikutan kekalahan memalukan kepada Korea Selatan pada final Siri Super ISTAF di India, dua hari lepas.

Mengulas lanjut, Khairy berkata pihaknya akan menghantar surat kepada PSM bagi memberi penjelasan berhubung prestasi skuad negara.

"Kita tidak menghukum atau mengambil tindakan drastik tetapi kita perlukan akauntabiliti daripada PSM. Apabila kita keluarkan duit melalui kerajaan mesti ada akauntabiliti.

"Saya akan kaji semula peruntukan yang telah disalurkan itu kerana kita tidak dapat hasil yang dikehendaki daripada mereka (PSM)," katanya.

Khairy bagaimanapun berkata kementerian tidak mempunyai masalah untuk menyalurkan lebih banyak peruntukan demi pembangunan sukan sepak takraw negara, namun memerlukan laporan yang lengkap dan jelas daripada PSM.

"Saya faham kalau mahu tingkatkan sukan kita perlu belanja tetapi kita kena belanja cara yang betul. Kementerian menyalurkan peruntukan kepada badan yang accountable. Apa yang saya nampak akauntabiliti kurang daripada pihak PSM," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan sepak takraw kebangsaan, Zamree Fareed Mohd Nordin berkata PSM telah mengaturkan perjumpaan bersama Khairy dalam tempoh terdekat bagi menjelaskan tentang prestasi pemain sepak takraw kebangsaan.

"Kita ada laporan yang lengkap dan akan menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku. Kita perlu terima hakikat sepak takraw bukan milik kita lagi seperti bola sepak...sukan itu berasal dari England tetapi negara yang menguasai bola sepak kini ialah Itali dan Brazil.

"Sepak takraw sudah berbeza, kini banyak negara mengambil bahagian jadi persaingan semakin kuat. Saya tidak nafikan persatuan juga kecewa dengan pencapaian pemain tetapi mereka sudah bekerja keras," katanya.

Zamree Fareed yang juga anggota tertinggi PSM berkata pembangunan sepak takraw memerlukan pelaburan yang lebih seperti yang dilakukan oleh negara seperti Korea Selatan.

"Pengurus Korea Selatan sendiri memberitahu saya peruntukan tahunan mereka (untuk pembangunan sukan sepak takraw) sebanyak RM4 juta," katanya bahawa PSM menerima dana daripada KBS kira-kira RM1 juta setahun.-BERNAMA

Artikel Lain