suria

Kejohanan Medan Persiapan Hadapi Terbuka Malaysia - Beng Hee

KUALA LUMPUR: Pemain lelaki nombor satu negara, Ong Beng Hee mahu menjadikan Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2013 sebagai medan persediaan bagi menghadapi Terbuka Malaysia dan Kejohanan Lelaki Terbuka Dunia.

Beliau berkata kejohanan itu adalah sebagai 'pemanas badan' bagi menghadapi Terbuka Malaysia daripada 10 hingga 15 September ini diikuti kejohanan dunia di Manchester, England dari 25 Okt hingga 3 November ini.

"Saya memerlukan banyak perlawanan untuk betul-betul bersedia bagi dua kejohanan besar nanti," katanya kepada pemberita selepas melangkah ke separuh akhir kejohanan kebangsaan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini, malam Jumaat.

Selaku pilihan utama, Beng Hee menepati ramalan apabila mengalahkan pemain remaja negara Gurshan Singh pada suku akhir dengan keputusan 11-6, 11-6 dan 11-6 untuk berdepan dengan pemain negara Mohd Addeen Indrakie Bahtiar pada separuh akhir esok.

Sementara itu, pemain nombor dua negara, Mohd Nafiizwan Adnan turut melangkah ke separuh akhir selepas mengalahkan Ng Jo wen dengan 11-3, 11-7 dan 11-3. Beliau akan bertemu bekas pemain kebangsaan, Timothy Arnold, yang terdahulu mengalahkan Valentino Bong dengan 11-7, 12-10 dan 11-9, pada perlawanan separuh akhir. "Perlawanan esok (separuh akhir) ibarat pertemuan ulangan dengan Timothy. Minggu lepas saya berjaya mengalahkan dia.

Bagaimanapun saya perlu berhati-hati ketika bertemu semula," kata pemain berusia 27 tahun itu.

Ahad lepas, beliau mengalahkan Timothy untuk memenangi pusingan kelapan Sirkit Jelajah Skuasy Malaysia di Stadium Skuasy Hang Jebat, Melaka.

Sementara itu dalam kategori premier wanita, pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David akan bertemu pemain nombor tiga negara, Delia Arnold, pada saingan separuh akhir.

Nicol, pemain nombor satu dunia, mengalahkan pemain remaja, Aika Azman dengan 11-5, 11-4 dan 11-4 manakala Delia pula menempatkan diri dalam perlawanan separuh akhir dengan mengatasi Teh Min Jie dengan 11-6, 11-3 dan 11-5.

Juara bertahan, Low Wee Wern juga tidak menghadapi laluan sukar untuk mara ke separuh akhir selepas menang mudah terhadap P. Pushppa Devi dengan 11-4, 11-1 dan 11-3.

Beliau akan bertemu pemain nombor empat negara, Zulhijjah Azan, yang terpaksa bertarung dalam lima set sebelum menewaskan bekas pemain kebangsaan Sharon Wee dengan 6-11, 11-13, 13-11, 11-8 dan 11-5. -BERNAMA

Artikel Lain