suria

Hoki Piala Asia: Misi Hidup Mati Skuad Negara

IPOH: Skuad hoki negara sedar tugas lebih berat menanti apabila bertemu pasukan berwajah baharu, India, pada separuh akhir Piala Asia 2013 pada Jumaat.

Kedua-dua pasukan itu tampil dengan misi 'hidup atau mati' dengan Malaysia bertekad mahu mencipta sejarah untuk mara ke final buat pertama kali sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1982.

India pula dalam keadaan tertekan untuk menempah tiket ke Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda dan mereka tidak mempunyai pilihan kecuali muncul juara di sini untuk layak secara automatik ke Belanda.

Sebaliknya, Malaysia, selaku pasukan menunggu ketiga, hampir pasti ke Piala Dunia 2014 dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) meletakkan sasaran juara untuk skuad kendalian Paul Revington.

Berdasarkan prestasi semasa pada perlawanan peringkat kumpulan, India muncl juara kumpulan dengan penuh bergaya apabila menjaringkan sejumlah 19 gol berbalas satu berbanding Malaysia dengan 15 gol berbalas lapan dalam tiga perlawanan.

Atas kertas, Malaysia yang menghuni ranking ke-13 dunia, diramal berdepan cabaran getir daripada skuad India yang dibimbing oleh jurulatih sementara Roelant Oltmans.

Pada pertemuan terakhir, Malaysia dan India seri 2-2 pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di sini Mac lepas.

Oleh sebab tiket Piala Dunia 2014 menjadi pertarungan, maka India akan bermain bermati-matian untuk mengekalkan tradisi penampilan mereka di Piala Dunia sejak 1971.

Lebih-lebih lagi, Persatuan Hoki India mendapatkan khidmat Oltmans yang dilantik sebagai Pengarah Berprestasi Tinggi selepas pemecatan jurulatih dari Australia Michael Nobbs awal tahun ini.

Oltmans mempunyai rekod membimbing skuad Belanda menjuarai Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan dua tahun kemudian membantu pasukan itu menjuarai Piala Dunia di Ultrecht, Belanda dengan mengalahkan Sepanyol 3-2.

Biarpun kelibat skuad India digeruni pada kejohanan ini namun ia tidak menggugat semangat kapten skuad negara Mohd Shahrul Nabil Abdullah.

Beliau yakin skuad negara mampu memberi tentangan sengit dan percaya tidak mustahil untuk mengalahkan pasukan gergasi Asia itu.

"Saya akui pertahanan negara sedikit longgar tetapi telah berusaha memperkemas benteng pertahanan," katanya kepada Bernama hari ini.

Penyerang Tengku Ahmad Tajuddin mengakui memang ada tekanan dan pengalaman beraksi dengan pasukan lawan itu akan banyak membantu pasukan.

Sementara itu Oltmans menyifatkan anak buahnya bebas daripada tekanan biarpun berdepan dengan pasukan tuan rumah.

Beliau berkata skuadnya berasa tuah kerana dapat menentang Malaysia yang merupakan antara empat pasukan terbaik di Asia.

Oltmans berkata skuad Malaysia di bawah Revington telah banyak berubah dan tidak sabar untuk pertemuan itu.-BERNAMA

Hoki Piala Asia, Malaysia, India

Artikel Lain