suria

Piala Malaysia: Azlan Yakin T-Team Mampu Mara Ke Suku Akhir

KUALA TERENGGANU: Biarpun dua kali berturut-turut kalah, namun T-Team tetap yakin dengan berbaki tiga perlawanan, ia dapat melangkah ke suku akhir saingan Piala Malaysia.

Penolong Pengendali pasukan, Azlan Johar berkata peluang untuk T-Team masih terbuka bagi merebut peluang ke suku akhir.

“Kita masih mempunyai baki tiga perlawanan dalam Kumpulan B, kita akan pastikan pasukan kita dapat melakar kemenangan dalam perlawanan selepas ini," katanya kepada pemberita.

Malam tadi T-Team memberikan saingan sengit sebelum tunduk kepada Johor Darul Takzim (Johor DT) 2-3.

Mengulas perlawanan itu, Azlan berkata dua gol awal Johor DT telah mengejutkan pemainnya.

“Kita agak leka pada babak pertama sehingga melepaskan dua gol. Namun para pemain telah bangkit dalam babak kedua untuk merapatkan jurang gol," katanya.

Pengendali Johor DT, Azmi Mohamed berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

“Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan para pemain. Kita dapat meraih tiga mata penting dalam perlawanan malam tadi. Ini merupakan bekalan penting dalam mencari tempat ke suku akhir,” katanya.- BERNAMA

Piala Malaysia, Azlan, T-Team

Artikel Lain