suria

Kejohanan Bola Tampar Kebangsaan Medan Pilih Pemain Ke Sukan Sea

KUALA LUMPUR: Kejohanan Bola Tampar Kebangsaan 2013 pada pertengahan bulan depan akan menjadi medan pemilihan pemain lelaki negara bagi menggalas cabaran Malaysia ke Sukan SEA di Myanmar pada Disember ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) Datuk Chai Kim Sen berkata Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah bersetuju menyenaraikan skuad berkenaan ke Myanmar di bawah Kategori B.

"Objektif penganjuran kejohanan ini adalah untuk memilih pemain terbaik dari seluruh negara bagi membentuk pasukan lelaki untuk Sukan SEA di Myanmar. MOM telah menyenaraikan skuad wanita di bawah Kategori A," katanya dalam sidang media pada Rabu.

Beliau berkata pemain yang dipilih menerusi kejohanan dari 11 hingga 15 Sept itu akan menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA.

"Matlamat kita adalah untuk menyediakan pasukan lelaki negara yang benar-benar mantap dalam misi meraih pingat emas apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017," katanya.

Beliau berkata skuad bola tampar kebangsaan kini dilatih oleh Moh Wung Ming yang juga ketua jurulatih Sarawak.

Atlet Kategori B adalah mereka yang gagal melepasi syarat kelayakan tetapi mempunyai potensi merangkul pingat dan perbelanjaan mereka ditanggung oleh persatuan sukan kebangsaan masing-masing.

Bagaimanapun, MOM akan membayar balik segala perbelanjaan sekiranya atlet Kategori B berjaya membawa pulang pingat emas atau perak.

Kategori A pula melibatkan atlet yang telah memenuhi syarat kelayakan dan perbelanjaan mereka ditanggung oleh MOM.

Kejohanan bola tampar kebangsaan yang kali terakhir diadakan pada 2003 akan berlangsung di Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor dan disertai 11 pasukan lelaki serta enam pasukan wanita.

Pasukan lelaki terdiri daripada Kuala Lumpur, Johor, Perak, Sarawak dan Angkatan Tentera Malaysia dalam Kumpulan A, manakala Kumpulan B terdiri daripada pasukan Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Terengganu dan Polis Diraja Malaysia.

Bagi kategori wanita, Kumpulan X melibatkan pasukan Johor, Negeri Sembilan dan Sarawak manakala Kumpulan Y disertai Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor. -BERNAMA

Artikel Lain