suria

Malaysia Tewas 1-4 Di Tangan Pakistan

IPOH: Malaysia gagal mengekalkan momentum memburu kemenangan kedua apabila tumpas 4-1 kepada bekas juara Pakistan pada saingan kumpulan A di Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini Ahad malam.

Kesilapan benteng pertahanan pada babak kedua perlawanan membawa padah apabila Pakistan mengambil kesempatan untuk melakarkan kemenangan kedua selepas membenam Jepun 7-0 semalam.

Skuad negara, yang membelasah Taiwan 10-2 semalam, memulakan permainan dengan garang apabila membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-26.

Tersentak dengan gol tersebut, Pakistan bangkit semula untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi gol padang Muhammad Zubair.

Pada babak kedua, kelekaan pada barisan pertahanan negara membuka peluang kepada Pakistan mendahului dengan gol kedua Muhammad Dilber pada minit ke-46 diikuti jaringan ketiga oleh kapten Muhammad Waqas pada minit ke-60.

Shafaq Rasool mengesahkan tempat Pakistan ke separuh akhir dengan jaringan pada minit ke-66.

Pakistan, yang belum layak ke Piala Dunia 2014, akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang Taiwan, Selasa ini.

Jurulatih negara Paul Revington ternyata kecewa dengan kekalahan itu dan mengakui benteng pertahanan agak longgar sehingga membolehkan Pakistan mengambil kesempatan menjaringkan gol.

Beliau berkata perlawanan akhir kumpulan menentang Jepun pada Selasa ini adalah amat penting kerana kedua-dua pasukan itu mencatatkan satu kemenangan dan bersaing untuk layak ke separuh akhir.

"Kita perlu mengambil sedikit masa untuk memperbaiki barisan pertahanan sebelum perlawanan menentang Jepun," katanya.

Pada perlawanan sebelum itu, juara bertahan Korea Selatan membuktikan mereka masih merupakan pasukan yang perlu disegani apabila membelasah Bangladesh 9-0 dalam saingan kumpulan B.

Jepun pula mengalahkan Taiwan 5-1 untuk menghuni tempat ketiga dalam kumpulan dengan tiga mata. Esok, Bangladesh akan menentang Oman manakala India bertemu Korea Selatan, kedua-dua perlawanan dalam kumpulan B. BERNAMA

Artikel Lain