suria

Hoki: Teruskan Misi Buru Juara Piala Asia - Zolkples

IPOH: Ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong meminta skuad hoki kebangsaan segera bangkit daripada kekalahan untuk meneruskan misi memburu gelaran juara Piala Asia buat julung kali.

Malaysia gagal mengekalkan rentak kemenangan pada perlawanan menentang Pakistan semalam setelah tumpas 1-4 kepada juara tiga kali Piala Asia itu.

Pada aksi pembuka tirai Sabtu lepas, Malaysia berjaya mencipta kemenangan besar apabila dengan mudah membelasah Taiwan 10-2.

"Pemain kita berjaya menunjukkan prestasi permainan yang baik semalam, namun sedikit kebocoran pada pertahanan telah membuka peluang kepada Pakistan untuk menjaringkan empat gol walaupun pada awalnya kita menguasai permainan apabila Muhammad Razie Abdul Rahim membuka jaringan pada minit ke-26," katanya.

Beliau berkata Pakistan dan India merupakan sebuah pasukan yang kuat namun ia tidak mematahkan semangat pasukan negara untuk terus berusaha bagi menjulang Piala Asia.

Zolkples berkata beliau yakin dengan kemampuan skuad bimbingan Paul Revington untuk kembali bangkit pada perlawanan akhir peringkat kumpulan A menentang Jepun esok (Selasa) memandangkan pasukan negara masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

"Revington sendiri telah memberi jaminan bahawa beliau mampu membaiki kelemahan yang ada dalam skuad kebangsaan, jadi saya fikir kita tidak mempunyai alasan untuk kalah pada aksi menentang Jepun pada Selasa," katanya.

Beliau menasihati pemain agar tidak cepat putus asa dan segera bangkit kerana persembahan mereka semakin bagus serta mempunyai keupayaan untuk beraksi dengan lebih baik selepas ini.

Zolkples berkata beliau turut berpuas hati dengan kehadiran penonton yang memenuhi stadium Hoki Sultan Azlan Shah sepanjang berlangsung kejohanan itu.

"Kehadiran ramai penonton ke stadium memberi isyarat bahawa sukan hoki semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dan saya harap mereka akan terus datang memenuhi stadium untuk memberi sokongan kepada skuad hoki kebangsaan kita," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain