suria

Malaysia Turun Dengan Dua Misi Penting - Revington

IPOH: Jurulatih skuad hoki kebangsaan Paul Revington memberi amaran kepada anak buahnya supaya jangan leka dan memandang remeh pasukan Taiwan pada perlawanan pembukaan Kumpulan A, Piala Asia di sini, esok.

Walaupun Taiwan menduduki ranking ke-50 dunia, beliau berkata pemain tidak harus mengambil mudah malah perlu menunjukkan standard yang tinggi pada setiap perlawanan untuk merangkul kejuaraan itu.

Jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu berkata skuad negara turun dengan dua misi penting iaitu memburu tiket automatik ke Piala Dunia 2014 dan mencipta sejarah merangkul Piala Asia.

"Tumpuan kami berdasarkan dua misi penting ini," katanya di sini, Jumaat.

Secara perkiraan matematik, Revington berkata misi beliau untuk membawa skuad negara ke Piala Dunia sudah tercapai dan tumpuan kini adalah menjadi juara Piala Asia.

Beliau yakin anak buahnya akan melakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan pertama menentang Taiwan.

Sementara itu, pemain tengah Azlan Misron berkata semua perlawanan dalam kampen Piala Asia adalah penting tidak kira sama ada pasukan lawan itu kuat atau sebaliknya.

Walaupun Taiwan dilabelkan sebagai pasukan belasahan, tetapi kita jangan sama sekali memandang rendah keupayaan pasukan itu kerana mereka mungkin mempunyai perancangan tersendiri, katanya.

Berikutan peluang beraksi di Piala Dunia di The Hague, Belanda, tahun depan cerah, Azlan berkata skuad negara tidak lagi rasa tertekan dan mampu menampilkan rentak permainan yang terbaik. "Bagi kami cabaran Piala Asia amat penting kerana ianya adalah persiapan bagi kami untuk menghadapi cabaran Piala Dunia yang sudah pasti lebih mencabar," kata pemain berusia 30 tahun itu.

Jadual Perlawanan Esok: (Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh).

India mln Oman - 4.05 petang

Pakistan mln Jepun - 6.05 petang

MALAYSIA mln Taiwan - 8.05 malam. -BERNAMA

Paul Revington, Taiwan, Piala Asia

Artikel Sebelum

Artikel Lain