suria

MSN Setuju Cadangan Hantar 529 Atlet Ke Sukan SEA Myanmar - Zolkeples

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju dengan cadangan menghantar seramai 529 atlet bagi menggalas cabaran negara di temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar, dari 11 hingga 22 Disember ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zolkeples Embong berkata daripada jumlah atlet itu, seramai 125 atlet adalah daripada kategori B, iaitu persatuan sukan kebangsaan menanggung perbelanjaan.

Semalam, presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata saiz kontinjen negara ke temasya sukan itu akan hanya diputuskan selepas menerima senarai atlet dan pegawai daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Beliau berkata MOM akan mengeluarkan senarai penuh kontinjen negara pada akhir Oktober atau awal November ini.

MOM menghantar atlet ke Sukan SEA berdasarkan kategori A dan B. Atlet yang berjaya melepasi syarat kelayakan akan diletakkan dalam kategori A di mana semua perbelanjaan ditanggung oleh MOM.

Atlet kategori B adalah mereka yang gagal melepasi syarat kelayakan tetapi mempunyai potensi dan perbelanjaan mereka ditanggung oleh persatuan sukan kebangsaan masing-masing.

Bagaimanapun, MOM akan membayar balik segala perbelanjaan sekiranya atlet kategori B berjaya membawa pulang pingat emas atau perak.

Zolkeples meminta sesetengah pihak supaya tidak memperlekehkan keupayaan atlet kategori B meraih pingat pada Sukan SEA. "Sebelum ini, kita ada sejarah atlet kategori B berjaya menyumbang pingat emas untuk negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Lesen Kejurulatihan untuk atlet wushu di sini Jumaat.

Pada Sukan SEA 2013, Malaysia akan mengambil bahagian dalam 31 jenis sukan kecuali empat acara iaitu vovinam, perlumbaan bot tradisional, gusti dan kempo. -BERNAMA

Artikel Lain