suria

Piala Malaysia: Negeri Sembilan Mahu Kekal Rentak Cemerlang

SEREMBAN: Jurulatih Negeri Sembilan Ridzuan Abu Shah berkata kemenangan 2-0 ke atas Terengganu pada perlawanan pertama saingan Kumpulan C Piala Malaysia malam tadi telah menaikkan semangat pemain untuk beraksi cemerlang pada perlawanan berikutnya.

"Kami akan terus mengekalkan rentak kecemerlangan ini sehinggalah kami berjaya mencapai matlamat utama kami," katanya.

Katanya sebelum bertemu Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Selasa malam, beliau lebih gemar pasukannya dianggap sebagai pasukan bukan pilihan kerana ini tidak akan memberi tekanan kepada mereka.

Walaupun turun sebagai pasukan bukan pilihan tetapi beliau menuntut anak buahnya supaya tidak mudah leka dan sentiasa fokus sepanjang 90 minit perlawanan, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

"Nyata, ramuan ini berhasil di mana pemain saya dapat menyerap tekanan sekali gus mencipta keputusan positif. Saya sentiasa mengingatkan pemain saya agar tidak leka dan memandang mudah cabaran pasukan lawan. Saya mengharapkan pemain saya akan dapat terus mengekalkan rentak yang konsisten," katanya.

Mengenai perlawanan berikutnya bertemu Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, pada Sabtu ini, Ridzuan berkata beliau akan mengambil pendekatan yang sama.

"Jadi, pemain perlu fokus serta tidak melakukan kesilapan yang boleh menghukum pasukan. Saya yakin jika pemain dapat mengikut segala arahan dan strategi yang dirancang, kemenangan sudah pasti berada dalam genggaman," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain