suria

Piala Malaysia: Padang Rumput Tiruan 'Senjata Berbisa' Lions XII

KUALA LUMPUR: Kempen Piala Malaysia 2013 yang akan membuka tirai pada Selasa, bakal menyaksikan pertembungan 16 pasukan bersaing untuk merebut trofi bola sepak terunggul tanah air itu.

Pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII FC yang juga juara Liga Super musim ini, dilihat menjadi 'duri dalam daging' kepada 15 pasukan lain kerana dibarisi ramai pemain muda yang mantap selain kelebihan beraksi di padang rumput tiruan di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Berdasarkan undian Piala Malaysia yang diadakan pada 27 Julai lepas, anak buah V. Sundramoorthy itu dianggap sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara Kumpulan D yang turut dianggotai Perak, Kedah serta juara Liga Perdana Sarawak.

Kegagalan pasukan tempatan menewaskan pasukan dari seberang tambak itu pada saingan Liga Super ketika berkunjung ke Singapura, boleh dijadikan pengajaran berguna buat mereka dalam menghadapi saingan Piala Malaysia kali ini.

Untuk rekod, pasukan Lion XII FC tidak pernah tewas daripada 11 perlawanan di gelanggang sendiri dan hanya sekali seri 1-1 menentang Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Super musim ini.

Sundramoorthy yang ditemui Bernama baru-baru ini bagaimanapun tidak menganggap beraksi di atas padang tiruan sebagai satu kelebihan sambil menyifatkan tiga pasukan lain dalam Kumpulan D turut berpeluang cerah layak ke suku akhir.

"Walaupun ramai menjangkakan kami mudah mencatat kemenangan beraksi di tempat sendiri, saya mengingatkan pemain supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan lain terutama Sarawak yang merupakan juara Liga Perdana selain Perak serta Kedah yang mampu memberi saingan sengit kepada kami," katanya.

Berbeza pula dengan juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor yang masih meneruskan 'Misi 33' selepas terkandas di peringkat separuh akhir musim lepas berikutan kekalahan dengan agregat 0-3 kepada juara bertahan, Kelantan.

Pemilihan Stadium Shah Alam sebagai venue final Piala Malaysia, bakal menjadi azimat terbaik buat skuad kendalian Irfan Bakti itu untuk melengkapkan 'Misi 33' walaupun bakal berdepan tiga lagi pasukan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sime Darby FC dan Johor FA dalam Kumpulan A.

Pasukan berstatus bintang, JDT yang sehingga kini gagal mendakap sebarang piala musim ini termasuk kalah 0-1 kepada Kelantan di final Piala FA pada 29 Jun lepas, semestinya mengidamkan Piala Malaysia bagi menebus kehampaan mereka.

Skuad Harimau Selatan itu yang mendapat sentuhan bekas pengendali pasukan Johor FA, Azmi Mohamed bagi menggantikan legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad dijangka mudah mara ke suku akhir selepas diundi dalam Kumpulan B bersama tiga pasukan kelab iaitu Selangor PKNS FC, T-Team dan Felda United FC.

Juara bertahan, Kelantan yang menjulang kejuaraan trebel musim lepas termasuk memenangi Piala FA dan Liga Super, bagaimanapun berdepan laluan berliku setelah diundi dalam Kumpulan C bersama dua lagi pasukan pantai timur -- Pahang dan Terengganu selain Negeri Sembilan.

Kegagalan anak didik Bojan Hodak itu mempertahankan kejuaraan Liga Super musim ini, bagaimanapun terubat hasil kejayaan mereka mempertahankan Piala FA dan mereka sudah pasti mahu membawa pulang Piala Malaysia pula.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih mengekalkan format terdahulu dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke suku akhir.

Aksi final pada 3 Nov ini yang sepatutnya diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, terpaksa ditukar ke Stadium Shah Alam berikutan kerja-kerja penyelenggaraan padang yang mengalami kerosakan.- BERNAMA

Artikel Lain