suria

Piala Malaysia: Dollah Tenang Bertemu Kelantan

Dollah Salleh
Dollah Salleh
Dollah Salleh

PETALING JAYA: Kempen Piala Malaysia 2013 bakal membuka tirainya pada Selasa dengan menyaksikan lapan perlawanan yang melibatkan 16 pasukan turun beraksi mencari mata kemenangan pertama.

Bagi Kumpulan A, Selangor bakal berkunjung ke Pasir Gudang bertemu dengan Johor, diikuti pasukan B.Sathianathan yang menjadi tuan rumah menerima cabaran dari KL Sime Darby di Stadium Perbandaran Selayang.

Kumpulan B pula menyaksikan Selangor PKNS menunggu kehadiran naib juara Piala FA musim ini, Johor Darul Takzim di Stadium Shah Alam dan satu lagi perlawanan bagi kumpulan ini adalah KL Felda United bertemu T-Team di Stadium Perbandaran Petaling Jaya.

Pastinya perlawanan sulung Piala Malaysia ini menjadi tumpuan dua pasukan dari Pantai Timur iaitu Pahang yang bakal menerima kunjungan jirannya, Kelantan di Stadium Darul Makmur.

Satu lagi perlawanan bagi Kumpulan C menyaksikan Terengganu bertemu Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Aksi Perak dan Sarawak di Stadium Perak serta Lions XII bertemu Kedah bakal melengkapkan aksi pembukaan bagi Kumpulan D.

Sementara itu, pasukan Pahang yang dikecewakan oleh JDT pada aksi separuh akhir Piala FA baru-baru ini, pastinya akan menggunakan perlawanan sulung ini sebaik-baiknya.

Ketua jurulatih pasukan Tok Gajah, Dollah Salleh mengakui segala persiapan menatal dan fizikal sudah dilakukan dengan baik menjelang perlawanan ini.

"Semua orang tahu mengenai kehebatan pasukan Kelantan. Bertemu dengan mereka bukanlah sesuatu yang mudah. Namun itu bukanlah menjadi alasan untuk pemain-pemain saya gentar bertemu dengan mereka nanti.

"Dari segi prestasi, tidak ada banyak beza antara pasukan saya dan pasukan itu.

"Pemain-pemain saya dilihat sudah bersedia dari zegi mental dan fizikal, dan ini dapat dilihat ketika perlawanan persahabatan bertemu Sime Darby baru-baru ini.

"Walaupun kapten (Jalaluddin Jaafar) kemungkinan besar tidak boleh bermain kerana kecederaan dua hari lalu, itu tidak merisaukan saya kerana ia merupakan kecederaan ringan sahaja," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Dollah berkata, apa yang penting dalam perlawanan bertemu Kelantan pada Selasa (esok) adalah fokus.

"Sekiranya semua pemain mengikut arahan serta memberi fokus yang baik, saya percaya pasukan ini akan meraih kemenangan.

"Walaupun berdepan dengan pemain-pemain lama yang dalam pasukan Kelantan, saya yakin skuad saya juga sudah matang.

"Saya mahu mereka menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri ini dengan sebaik-sebaiknya.

"Dan dalam masa sama diharap semua penyokong Pahang turun memberi sokongan kepada kami," katanya.

Piala Malaysia, Dollah, Kelantan

Artikel Lain