suria

Promoter Perlu Rujuk FAM Sebelum Bawa Pasukan Luar - Hamidin

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa serta-merta, promoter bola sepak tempatan yang berhasrat membawa pasukan luar mengadakan perlawanan persahabatan di negara ini, mesti merujuk kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlebih dahulu.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata langkah itu bagi memastikan media dan peminat tempatan mendapat manfaat penuh daripada kehadiran pasukan terbabit.

"Kita akan mengeluarkan satu prosedur operasi standard atau garis panduan mengenai perkara berkenaan dalam masa terdekat kepada semua promoter.

"Maknanya, FAM akan mengetahui terlebih dahulu mengenai kedatangan mereka ke negara ini sebelum dihebahkan kepada media tempatan," katanya kepada pemberita selepas Kongres Tahunan FAM ke-49 yang disempurnakan oleh Presidennya Sultan Ahmad Shah, di sini Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media tempatan baru-baru ini yang kecewa dengan layanan kurang mesra daripada promoter yang mengendalikan kunjungan gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona FC ke negara ini untuk aksi persahabatan menentang skuad Harimau Malaya.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut menyatakan kekesalan beliau mengenai layanan promoter perlawanan berkenaan menerusi laman Twitternya.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata menerusi peraturan baharu itu, promoter turut diwajibkan menjemput wakil daripada FAM untuk mengadakan sebarang perbincangan dan tidak tertakluk kepada bahagian teknikal sahaja.

"Kita prihatin dengan masalah yang dihadapi media tempatan sebelum ini dan saya akui perkara ini pernah terjadi.

"Sehubungan itu, saya mahu wakil kita (FAM) turut sama terlibat dalam sebarang perbincangan dengan promoter kerana kita yang menerima kritikan pada akhirnya jika ada apa-apa yang tidak bagus berlaku nanti," katanya. - BERNAMA

FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin

Artikel Lain