suria

FAM Pinda Artikel 88 Benarkan Pegawai Beri Pendapat - Afandi

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya memutuskan untuk meminda Artikel 88 yang membenarkan para pegawainya selain daripada Presiden dan Setiausaha Agung untuk membuat kenyataan media berkaitan badan induk bola sepak kebangsaan itu.

Sebelum ini, artikel berkenaan hanya membenarkan Presiden dan Setiausaha Agung FAM sahaja yang boleh menyeluarkan kenyataan media.

Naib Presiden FAM Datuk Afandi Hamzah berkata para pegawai berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM.

"Jawatankuasa Eksekutif akan membuat satu garis panduan tentang kenyataan akhbar sebelum diedarkan kepada semua ahli gabungan FAM supaya tidak lagi timbul sebarang permasalahan selepas ini khususnya berkaitan Artikel 88," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Kongres Tahunan FAM ke-49 yang disempurnakan oleh Presidennya Sultan Ahmad Shah dan turut dihadiri oleh timbalannya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta setiausaha agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Afandi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata ahli majlis turut bersetuju meminda Artikel 68 yang tidak membenarkan mana-mana ahli gabungan FAM atau pemain untuk membawa sebarang kes berkaitan bola sepak terus ke mahkamah.

Beliau sebaliknya menegaskan ahli gabungan FAM atau pemain perlu melalui prosedur yang ditetapkan seperti membawa kes berkenaan ke jawatankuasa kecil dalam FAM untuk proses penyelesaian sebelum membawa kes mereka ke mahkamah.

"Sekiranya mereka terus berdegil dan membawa kes berkenaan terus ke mahkamah, maka mereka akan dikenakan tindakan di bawah Artikel 68 (iaitu maksimum gantung seumur hidup)...bagaimanapun mereka boleh membuat rayuan kepada FAM untuk pertimbangan," katanya.

Sebelum pindaan itu, Artikel 68 membenarkan mana-mana ahli gabungan atau pemain yang mempunyai kes berkenaan bola sepak untuk membawa kes mereka terus ke mahkamah untuk proses penyelesaian terakhir.

Mengenai perkara lain, Afandi berkata ahli majlis bersetuju mengenai cadangan pemindahan Wisma FAM di Petaling Jaya ke Putrajaya sebagaimana yang diumumkan oleh Sultan Ahmad Shah, baru-baru ini.

Katanya, sebuah tapak seluas 7.69 hektar sudah dikenal pasti di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu untuk proses pembinaan bangunan baharu FAM selain bangunan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

"Kita berharap pembinaan dua bangunan ini membolehkan Malaysia menjadi hab bola sepak di Asia...Kos pembinaannya masih belum ditentukan kerana kita perlu meneliti beberapa perkara dengan lebih lanjut," katanya.

Afandi berkata satu lawatan ke tapak berkenaan akan diadakan oleh FAM bersama Pengerusi Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat pada minggu depan bagi melihat kesesuaian tempat berkenaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain