suria

Taekwando: Malaysia Raih Empat Emas Di Guangzhou

SIBU: Malaysia berjaya meraih empat pingat emas, dua perak dan tiga butir gangsa pada Kejohanan Taekwondo Terbuka Kebudayaan Zon Asia Kedua selama tiga hari di Guangzhou, China, yang berakhir Selasa lepas.

Kejohanan itu mendapat pengiktirafan Persekutuan Taekwando Dunia.

Naib presiden/grandmaster Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) Dr Henry Y. K. Toh berkata kira-kira 1,500 peserta dari lebih 10 negara Asia, termasuk negara gergasi sukan berkenaan, Korea Selatan, menyertai kejohanan itu.

Katanya Malaysia menghantar 17 peserta ke kejohanan itu, 10 daripada mereka mengambil bahagian dalam acara 'poomsae' (pola), manakala selebihnya dalam acara 'kyorugi' (sparing bebas).

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pada Khamis selepas menerima kunjungan hormat dua anak Sarawak yang masing-masing memenangi satu pingat emas untuk negara pada kejohanan itu.

Mereka ialah Wong Tiong Yung dan Lucas Chieng Tiew Lik.

Dr Toh berkata kemenangan yang dicapai pasukan Malaysia pada kejohanan itu sangat penting bagi MTA dalam usahanya untuk mendapatkan kembali kedudukan sebagai badan pengawal kebangsaan sukan berkenaan.

"Suruhanjaya Sukan mengiktiraf kami sebagai sebuah badan sukan kebangsaan. Kami berharap Majlis Olimpik Malaysia akan menerima kami kembali sebagai anggotanya," kata Dr Toh, yang juga ketua pengarah teknikal Persekutuan Taekwondo Sarawak yang menjadi anggota bersekutu MTA.-BERNAMA

Artikel Lain