suria

Sukan Perpaduan Islam Ketiga Berlangsung Akhir September - Kok Chi

KUALA LUMPUR: Sukan Perpaduan Islam Edisi ketiga di Indonesia yang sebelum ini dilapor telah ditangguhkan berikutan masalah mogok pekerja di venue kejohanan akan diteruskan pada akhir bulan depan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi yang menerima surat daripada pihak penganjur yang turut memaklumkan venue utama kejohanan akan dipindahkan dari Kepulauan Riau ke Palembang yang turut merupakan venue Sukan SEA 2011.

"Penganjur memikirkan venue di Palembang yang pernah digunakan pada Sukan SEA 2011 masih boleh digunakan. Sekiranya wujud sebarang perkara berbangkit, ia akan dibincangkan pada mesyuarat ketua kontinjen yang dijangka diadakan akhir bulan ini di sana," katanya.

Agensi berita asing sebelum ini melaporkan bahawa penganjuran sukan tersebut yang sepatutnya diadakan pada Jun lepas terpaksa ditangguh selepas pekerja pembinaan menutup stadium utama sebagai tanda bantahan kerana mereka tidak menerima pembayaran penuh bagi kerja yang dijalankan.

Pada kejohanan itu, Sieh berkata MOM bersetuju untuk menghantar sejumlah 112 atlet dan pegawai untuk menyertai 13 acara seperti yang telah diputuskan pada mesyuarat pemilihan MOM pada 27 Februari lepas.

Sukan berkenaan ialah olahraga, renang, memanah, badminton, gimnastik artistik, karate, pencak silat, sepak takraw, taekwando, tenis, bola tampar pantai, angkat berat dan wushu.

Untuk rekod, Malaysia sekadar menduduki tempat ketujuh keseluruhan setelah meraih lima pingat emas, lima perak dan enam gangsa pada edisi sulung kejohanan pada 2005 di Arab Saudi.

Sementara penganjuran sukan edisi kedua di Tehran, Iran pada 2010 dibatalkan oleh Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF) apabila negara tuan rumah gagal menyediakan kemudahan sewajarnya.

Idea penganjuran temasya itu tercetus semasa Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Putrajaya pada 2003 yang dipersetujui kesemua 57 negara anggota berkenaan.-BERNAMA

Artikel Lain