suria

BAM Mahu Utamakan Pembangunan Pemain Wanita

KUALA LUMPUR: Oleh kerana terlalu memberikan fokus terhadap melahirkan ramai pemain pelapis perseorangan lelaki, menyebabkan pembangunan pemain wanita negara ketinggalan, kata Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohammad Norza Zakaria.

Beliau berkata sehubungan itu, kejayaan Thailand dalam melahirkan juara dunia wanita iaitu Ratchanok Intanon telah membuka mata badan induk sukan badminton itu untuk memastikan sistem pembangunan atlet badminton adalah lebih holistik.

"Kita kagum dengan apa yang dicapai oleh Ratchanok. Beliau berjaya meraih gelaran remaja dunia sebanyak tiga kali, kemudian menjadi juara dunia, satu pencapaian terbaik yang mendadak," katanya.

Ratchanok, 18, melakar kejutan menewaskan pemain nombor satu dunia yang juga juara Sukan Olimpik 2012, Li Xuerui dari China pada aksi final Kejohanan Dunia di Guangzhou, China baharu-baharu ini.

Mohammad Norza berkata sewajarnya perlu ada agenda khusus bagi pembangunan atlet di peringkat akar umbi terutama dalam mengetengahkan pemain pelapis wanita dalam beberapa kejohanan penting.

"Pendekatan terhadap pemain pelapis wanita negara jauh ketinggalan kerana terlalu fokus untuk melahirkan pelapis lelaki sahaja. Selepas (Datin) Wong Mew Choo, kita memang ketandusan pemain yang berbakat seperti beliau," katanya.

Mohammad Norza berkata BAM akan melihat semula sistem dalam persatuan itu terutamanya dalam aspek latihan dan kejurulatihan agar lebih sistematik dan beberapa cadangan baharu akan dikemukakan bagi menaikkan mutu sukan badminton negara pada mesyuarat anggota majlis yang akan diadakan pada 7 September ini.

"Kita akan berbincang tentang bagaimana hendak melahirkan lebih ramai pemain yang kompetetif, persatuan negeri juga perlu aktif dalam mencari bakat di peringkat akar umbi.

"Sistem BAM juga perlu lebih tersusun dalam mengenal pasti pemain berprestasi tinggi. Sistem secara organisasi perlu lihat secara menyeluruh bukan tertumpu kepada individu sahaja," katanya.

Sementara itu, jurulatih perseorangan wanita negara Wong Tat Meng mengakui negara kekurangan pemain wanita berprestasi tinggi untuk dipilih dan dibentuk sebagai juara dunia.

Beliau berkata usaha melahirkan pemain berprestasi tinggi harus bermula di peringkat junior seperti yang dilakukan Thailand dan Indonesia dan kedua-dua negara itu mempunyai ramai pemain untuk dipilih.

"Untuk hasilkan seorang juara bukan mudah, kita perlukan sekurang-kurangnya setahun setengah untuk melatih mereka. Mereka (juara) bukan boleh dihasilkan melalui beberapa latihan dan beberapa bulan," katanya.

Tat Meng berkata Malaysia juga berkeupayaan untuk mencapai kejayaan seperti Thailand dan Indonesia dengan atlet sedia ada bekerja keras supaya lebih kompetetif dalam semua perlawanan.

"Kita sedang berusaha untuk menaikkan semangat para pemain termasuk juga prestasi mereka untuk berhadapan dengan pihak lawan. Kita ada pemain yang berpotensi tinggi untuk berjaya seperti Sonia Cheah namun Sonia kini masih lagi dalam proses pemulihan kecederaan yang dialaminya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain