suria

PKBM Kecewa Pelumba Negara Terlibat Kes Penggunaan Bahan Terlarang

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) merasa kecewa apabila seorang pelumba basikal negara dilaporkan terbabit dengan penggunaan bahan terlarang semasa menyertai perlumbaan Jelajah Malaysia 2013 pada 26 Mei hingga 2 Jun lepas.

"Kes penggunaan bahan terlarang yang membabitkan pelumba Malaysia ini amat dikesali. Semua atlet wajar memberi perhatian sepenuhnya mengenai aspek larangan terhadap pengambilan dadah terlarang untuk tujuan sukan," kata Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad.

Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini, Naib Presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan bahawa pelumba kelahiran Terengganu, Ahmad Fallanie Ali positif menggunakan bahan terlarang.

Menurut laporan yang diterima Amarjit daripada pihak Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mendapati sampel 'A' air kencing pelumba berkenaan mencatatkan bacaan tidak normal untuk methandienone metabolit, yang merupakan steroid anabolik.

"Jawatankuasa Anti-Doping dan Jawatankuasa Disiplin PKBM akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk memanggil beliau (Ahmad Fallanie) bagi mendapatkan penjelasannya selain memaklumkan secara rasmi hukuman yang dikenakan ke atasnya," kata Naim.

"Ia sesuatu yang mendukacitakan kerana masih ada atlet yang memandang remeh isu penggunaan ubat atau bahan terlarang ketika menyertai mana-mana kejohanan," tambahnya.

Naim, yang juga Ketua Pegawai Operasi perlumbaan Jelajah Malaysia 2013, juga kecewa kerana insiden itu yang pertama kali berlaku dalam sejarah penganjuran perlumbaan itu dan mencalar kelancaran penganjurannya.

"Kita selalu dengar isu doping ini berlaku dalam kalangan pelumba-pelumbabasikal di Eropah dan Amerika Syarikat sahaja. Oleh sebab itu, kita mahu Malaysia menjadi bersih daripada isu doping.

"Untuk perlumbaan Jelajah Malaysia, walaupun tidak disyaratkan untuk mengadakan ujian doping, sebagai penganjur kita buat juga ujian doping secara rawak dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN). Namun masih ada pelumba kita yang masih tidak peka dengan kesalahan menggunakan bahan terlarang semasa pertandingan," katanya.

Bagaimanapun, Naim berkata PKBM tidak akan memandang remeh isu tersebut dan pesalah akan diambil tindakan yang sewajarnya dan mungkin akan menerima hukuman yang berat.

Naim berkata jika didapati bersalah, Ahmad Fallanie akan digantung penyertaan dalam mana-mana perlumbaan berbasikal yang diiktiraf UCI dan PKBM, di dalam dan luar negara.

Untuk rekod, sebelum ini dua pelumba negara iaitu Razif Salleh dan Fauzan Ahmad Lutfi telah digantung penyertaan selama dua tahun akibat penggunaan bahan terlarang masing-masing pada 2007 dan 2009.-BERNAMA

Artikel Lain