suria

Juara Jelajah Malaysia Yakin Raih Kemenangan Dalam Jelajah Borneo

KUALA LUMPUR: Pelumba kebangsaan Loh Sea Keong, yang menjuarai Jelajah Malaysia 2013 ketika mewakili OCBC Singapore Continental Cycling Team yakin mampu meraih kemenangan pada perlumbaan Jelajah Borneo di Kota Kinabalu dari 18 hingga 22 Ogos ini.

"Selepas Jelajah Malaysia, saya hanya berehat untuk mengembalikan kecergasan dan Jelajah Borneo seolah-olah perlumbaan pertama saya pada musim ini," kata pelumba kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu.

Sea Keong, 27, kini menjadi perhatian ramai setelah menjuarai Jelajah Malaysia Jun lepas dan melakar sejarah sebagai pelumba pertama Malaysia yang dinobat sebagai pemenang keseluruhan Jelajah Asia UCI.

Sea Keong menggalas beban berat pada Jelajah Borneo kerana ramai peminat sukan ini mengharapkannya mencatat satu lagi kejayaan cemerlang.

Antara pencapaian besarnya tahun ini ialah menjuarai dua peringkat perlumbaan pada Jelajah Singkarak dan Jelajah Thailand sebelum meraih gelaran juara keseluruhan Jelajah Malaysia.

"Saya sedar harapan besar yang diletakkan di bahu saya dan saya tidak akan membiarkannya melekakan saya. Mengulangi kejayaan menjadi juara keseluruhan memang sukar dengan keadaan yang ada pada Jelajah Borneo, termasuk pendakian yang memeritkan dan kehadiran Ghader Mizbani serta pasukan Tabriz Petrochemical yang begitu hebat," katanya.

Antara ramuan penting dalam kejayaan Sea Keong pada Jelajah Malaysia ialah komitmen ikhlas setiap anggota pasukan OCBC Singapore untuk memastikan jersi kuning terus menjadi miliknya setelah merampasnya pada peringkat kedua dan perkara itu mampu diulangi pada Jelajah Borneo.

Pada Jelajah Borneo, Sea Keong sekali lagi akan diiringi rakan rapatnya Ahmad Haidar Anuawar, pelumba Thailand yang amat berpengalaman Puchong Saiudomsin dan pelumba Singapura yang bersemangat kental Goh Choon Huat, Ho Junrong dan Low Ji Wen.

"Kami akan menghadapinya (perlumbaan itu) peringkat demi peringkat. Jika kesempatan menjelma, saya akan memanfaatkannya. Yang pasti, saya ingin muncul sebagai juara keseluruhan sekali lagi," katanya.

Sementara itu, pengerusi penganjur Jelajah Borneo Datuk Fredie Sua menjangka Sea Keong dan rakan sepasukannya akan mencatat keputusan baik pada acara itu.

"Setelah menyaksikan prestasinya yang mengagumkan pada Jelajah Malaysia Jun lepas, saya yakin mereka akan mempamerkan sesuatu yang hebat untuk kita, cuma tunggu dan lihat sajalah," katanya.

Jelajah kategori 2.2 Hors ini mendapat pengiktirafan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan tersenarai dalam kalendar UCI Asian Tour. Ia juga bertujuan mempromosi Sabah sebagai destinasi pelancongan sukan terhebat di Malaysia dan untuk acara berbasikal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain