suria

Haziq Optimis Trio Recurve Mampu Pertahankan Pingat Emas Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Atlet memanah kebangsaan Haziq Kamaruddin bertekad untuk membantu trio recurve negara mempertahankan pingat emas acara berpasukan lelaki pada temasya Sukan SEA Myanmar, Disember depan.

Haziq berkata beliau dan rakan sepasukannya tidak mahu selesa dan terlalu yakin dengan prestasi semasa mereka kerana perlu berwaspada dengan cabaran yang akan diberikan daripada atlet Thailand terutamanya.

"Kalau kita lihat negara yang sertai, saya yakin kita mampu meraih pingat emas. Prestasi sekarang masih banyak yang perlu diperbaiki dan ditingkatkan," katanya.

Dalam acara individu pula, Haziq berkata beliau melihat potensi mendapat tentangan sengit dari atlet tuan rumah, Myanmar dan Thailand pada temasya dwitahunan itu nanti.

"Salah seorang pemanah dari Thailand pernah beraksi di Olimpik tahun lepas, dan pemanah dari Myanmar juga hebat," katanya.

Skuad memanah negara dijadualkan menjalani latihan di Korea Selatan pada 15 Ogos ini sehingga 7 Sept sebelum menghadapi Kejohanan Dunia di Turki.

Untuk rekod, skuad memanah negara meraih dua pingat emas bagi acara recurve individu lelaki dan berpasukan lelaki pada Sukan SEA, Jakarta edisi 2011.

Acara individu diraih oleh Cheng Chu Sian manakala berpasukan pula menerusi trio negara Cheng Chu Sian/Khairul Anuar Mohamad/Haziq Kamarudin. -BERNAMA

Artikel Lain