suria

Beregu Emas Bakal Berdepan 'Hukuman' Selepas Terkandas Di Suku Akhir

GUANGZHOU: Padah menanti beregu utama negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong apabila mereka terkandas pada suku akhir Kejohanan Badminton Dunia 2013 di Gimnasium Tianhe di sini, Jumaat.

Pasangan nombor dua dunia dan pilihan kedua kejohanan itu terpaksa akur kepada kehebatan pilihan kelima dari Korea Selatan, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang 15-21, 16-21 dan mereka perlu 'membayar harga yang tinggi' di atas kekalahan tersebut, selain mengakhiri cabaran Malaysia dalam acara beregu lelaki.

Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran kepada gandingan itu untuk layak ke final pada kejohanan itu atau akan dipisahkan berikutan prestasti mereka yang merudum sejak beberapa tahun lepas.

Pada pertemuan itu, segalanya tidak menjadi bagi beregu negara itu sebaliknya pasangan Korea Selatan itu lebih bertenaga dengan corak permainan pantas dan pertahanan yang kental untuk menempah tempat ke separuh akhir esok.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu, Koo berkata mereka telah berusaha bersungguh-sungguh pada kejohanan itu dan terserah kepada kepimpinan BAM bagi menentukan nasib mereka.

"Memang saya masih mahu meneruskan gandingan ini tetapi terpulang kepada BAM di bawah presiden baharu (Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff) untuk membuat keputusan (berhubung kedudukan kami).

"Kami memang bersedia untuk kejohanan ini dan sudah melakukan apa yang terbaik tetapi...(tewas di suku akhir)," katanya.

Koo turut kesal dengan sikap peminat tempatan yang sering mengkritik mereka apabila gagal mencapai keputusan yang cemerlang pada sesuatu pertandingan terutama membabitkan kejohanan besar sedangkan mereka telah berusaha sedaya upaya.

"Kalau boleh, saya rasa macam mahu bermain (menyertai kejohanan) di China sahaja...sama ada menang atau kalah mereka terus beri sokongan. Saya rasa kecewa, apabila kami meraih kejuaraan tidak ramai yang ucap tahniah tetapi bila kami kalah, ramai yang kritik," katanya.

Mengenai perlawanan itu, Koo mengakui bahawa pasangan Korea Selatan itu mempamerkan aksi mantap sehingga sering kali memerangkap mereka.

Tan turut melahirkan rasa kecewa kerana gagal meneruskan kemaraan kerana mereka turut meletakkan sasaran tinggi pada kejohanan edisi kali ini.

"Tiada apa yang boleh saya katakan. Biar BAM yang tentukan nasib kami," katanya yang turut mengharapkan agar gandingannya bersama Koo dikekalkan.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her berkata beliau akan menyiapkan laporan berhubung prestasi kesemua beregu negara, termasuk gandingan Koo-Tan pada kejohanan itu untuk diserahkan kepada BAM.

"Mereka (Koo-Tan) sudah cuba sedaya upaya. Saya akan siapkan laporan dan terpulang kepada Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (BAM) untuk membuat keputusan muktamad," katanya yang mengakui bahawa kedua-dua pemain berkenaan telah berusaha bersungguh-sungguh pada kejohanan itu tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

Dua lagi beregu negara - Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari serta Hoon Thien How/Tan Wee Kiong pula terkandas di pusingan ketiga semalam manakala Goh V Shem-Lim Khim Wah tersingkir di pusingan kedua. - BERNAMA

Artikel Lain