suria

Norsheela Mula Jalani Latihan Ringan Selepas Pembedahan Buku Lali

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara Norsheela Khalid yang masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan buku lali kini memulakan latihannya semula.

Pelari lompat berpagar wanita itu yang baru sahaja menjalani pembedahan berkata beliau hanya boleh melakukan latihan secara terhad.

"Memang saya ada jalani latihan selepas pembedahan namun pergerakan saya terhad. Saya hanya boleh bergerak secara perlahan, kalau laju kesakitan itu akan datang menyerang saya.

"Jadi perkembangan untuk pulih sepenuhnya agak perlahan dan mengambil masa sedikit," katanya kepada pemberita di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini Rabu.

Katanya, pembedahan buku lali itu merupakan cara terakhir baginya untuk pulih sepenuhnya tanpa sebarang kecederaan yang boleh mengganggu prestasi beliau sebagai seorang atlet olahraga.

Ditanya mengenai keyakinannya untuk meraih lebih banyak pingat selepas kecederaan tersebut, Norsheela berkata beliau masih mempunyai keyakinan untuk meneruskan prestasi cemerlangnya.

Norsheela berkata, beliau akan menyertai Sukan SEA di Myanmar Disember ini jika kecederaannya pulih sepenuhnya kerana beliau masih mempunyai masa untuk terus berlatih dan kembali sihat seperti sedia kala.

"Sebelum Sukan SEA masih ada banyak lagi kejohanan kelayakan untuk saya sertai termasuk Kejohanan Terbuka Malaysia dan beberapa lagi pada November ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain