suria

MYA Komited Anjur Kursus Kepada Jurulatih Perahu Layar

KUALA LUMPUR: Persatuan Perahu Layar Malaysia (MYA) komited untuk menganjurkan lebih banyak kursus kejurulatihan perahu layar tahap tiga bagi melahirkan jurulatih berkelayakan di negara ini.

Pengurus Besar MYA Mohd Afendy Abdullah berkata kejayaan kursus itu yang julung kali dianjurkan MYA pada 27 Julai lepas, membuktikan bahawa ramai anak tempatan berminat dalam sukan itu.

"Untuk melahirkan atlet perahu layar hebat, kita perlu ada jurulatih yang berkelayakan bagi membimbing mereka dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Kita perlu bermula dari sekarang untuk menyediakan jurulatih yang berkebolehan," katanya.

Mohd Afendy turut berpuas hati dengan sambutan yang diterima apabila seramai 10 jurulatih menamatkan kursus kejurulatihan tahap tiga selama lapan hari di ibu negara.

"Untuk penganjuran akan datang, kami ingin membuka lebih banyak peluang kepada jurulatih tempatan mengikuti kursus kejurulatihan tahap tiga ini," katanya.

Kursus yang dianjur bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bukan sahaja penting kepada pembangunan sukan perahu layar malah untuk jurulatih bagi menentukan tangga gaji yang layak diterima seseorang jurulatih.

"Saya rasa bangga apabila MYA menjadi antara tiga persatuan sukan kebangsaan terawal di negara ini yang berjaya menganjurkan kursus kejurulatihan tahap tiga," katanya. - BERNAMA

MYA, Mohd Afendy Abdullah

Artikel Lain