suria

Chong Wei Tetapi Ramalan Mara Ke Pusingan Kedua Kejohanan Dunia

GUANGZHOU: Seperti dijangka, Datuk Lee Chong Wei melepasi halangan pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia 2013 apabila menumpaskan Scott Evans di Gimnasium Tianhe, di sini, Isnin.

Jaguh badminton negara itu yang juga pilihan utama kejohanan, mengenepikan pemain Ireland itu 21-11, 21-15.

"Memang biasa (pada setiap kejohanan), pada pusingan pertama kita belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran gelanggang. Sejak tiba di sini (pada Sabtu lepas), ini kali ketiga saya turun ke gelanggang (termasuk dua hari latihan). "Saya harap dapat menyesuaikan diri dengan gelanggang pada pusingan seterusnya. Namun ia bukan satu masalah besar kepada saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Chong Wei dijangka berdepan pemain Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka pada pusingan kedua, Rabu ini. Hayom dijangka tidak menghadapi masalah berdepan pemain Israel, Misha Zilberman pada lewat petang Isnin.

Mengenai pertemuannya dengan Hayom, Chong Wei yang juga pemain nombor satu dunia, berkata beliau akan lebih fokus kerana pemain muda Indonesia itu telah mempamerkan aksi yang baik sebelum tewas kepadanya di peringkat separuh akhir Terbuka Indonesia, Jun lepas.

"Dia (Hayom), bermain dengan corak permainan menyerang dan memberi tentangan hebat kepada saya pada Terbuka Indonesia. Saya harap dapat tunjukkan permainan yang baik pada Rabu ini untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Banyak pihak berpendapat, ini peluang terbaik saya untuk meraih gelaran dunia. Saya harap peluang ini tidak hilang (dipersia-siakan). Banyak rakan saya dari Malaysia juga akan datang ke Guangzhou dan saya akan pamerkan aksi yang terbaik kerana saya memang mahukan kejuaraan ini," katanya.

Ditanya berhubung musuh tradisinya, Lin Dan, Chong Wei berkata lawannya itu pasti mahu membuktikan sesuatu pada kejohanan berkenaan selepas hampir setahun tidak beraksi pada kejohanan kompetitif selepas memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London.

Pada Kejohanan Badminton Dunia 2011 di Wembley Arena, London, Chong Wei gagal meraih kejuaraan dunianya yang pertama selepas tumpas kepada Lin Dan di pentas akhir.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki nombor dua negara, Chong Wei Feng turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Rajiv Ouseph dari England 21-11, 21-15.

Wei Feng yang juga pilihan ke-15 kejohanan, dijangka berdepan pemenang dalam pertemuan antara Dmytro Zavadsky dari Ukraine dan Eetu Heino dari Finland pada pusingan kedua, Rabu ini.

"Pada set pertama, saya sedikit gementar kerana ini kali pertama beraksi pada Kejohanan Dunia. Selepas itu, saya berjaya mengawal keadaan dan saya harap dapat mengekalkannya pada perlawanan seterusnya (pusingan kedua).

"Selepas diberi kepercayaan (beraksi) di kejohanan ini, saya mahu buktikan sesuatu. Saya akan cuba melakukan yang terbaik," kata Wei Feng.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren akan beraksi menentang Vladimir Malkov dari Rusia pada lewat petang ini. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain