suria

Shahidan Patuh Arahan Jemaah Menteri Untuk Lepaskan Jawatan Presiden Asum

KANGAR: Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim akan melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 1996 sebagai mematuhi kehendak jemaah menteri.

Shahidan berkata beliau akan melepaskan jawatan itu dua bulan lagi selepas mendapat pengganti yang bersesuaian.

Kabinet sebelum ini membuat keputusan melarang anggota pentadbiran kerajaan persekutuan memegang jawatan dalam persatuan sukan kebangsaan.

"Saya akur dengan arahan jemaah menteri untuk melepaskan jawatan dalam Asum walaupun telah sebati dengan persatuan itu dan begitu rapat dengan para atletnya," kata menteri di Jabatan Perdana Menteri itu ketika ditemui di sini, Sabtu.

Shahidan berkata beliau juga kini menerajui tujuh persatuan sukan di peringkat negeri dan tidak pasti sama ada perlu melepaskan jawatan-jawatan itu, antaranya pengerusi Persatuan Olahraga Perlis, Persatuan Berbasikal Perlis, Persatuan Boling Perlis dan Persatuan Kabbadi Perlis.

Terdahulu, Shahidan menghadiri majlis khatam al-Quran Wanita Umno bahagian Arau yang disertai 1,200 peserta termasuk kepimpinan wanita Umno cawangan di Kompleks Warisan di sini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain