suria

Lawan Pedang: Natasha Wakil Tunggal Ke Budapest

KUALA LUMPUR: Atlet lawan pedang elit negara Natasha Ezzra Abu Bakar akan menjadi wakil tunggal negara beraksi pada Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary, mulai Selasa ini.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF) Riduan Abdul berkata Natasha Ezzra telah berlepas ke Hungary pada 26 Julai lepas bagi menjalani latihan di sana sebelum menyertai kejohanan lima hari itu.

"Kita meletakkan sasaran kepadanya untuk menggumpul mata FIE (Persekutuan Lawan Pedang Antarabangsa) bagi kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 (di Rio de Janeiro, Brazil)," katanya.

Beliau berkata Natasha Ezzra akan beraksi dalam acara foil wanita pada kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Riduan berkata mereka telah menyenarai sembilan atlet bagi menyertai Kejohanan Remaja Asia bawah 15 tahun di Nanjing, China dari 19 hingga 22 Ogos ini.

"Kita tidak meletak sasaran tinggi terhadap mereka untuk mengutip pingat emas kerana mereka akan bersaing dengan lawan lebih berpengalaman dari China dan Jepun.

"Harapan kita bagi mendedahkan mereka dengan persaingan di peringkat lebih tinggi dan membiasakan mereka dengan rentak perlawanan serta cabaran yang lebih hebat pada masa hadapan," katanya.

Bagi skuad negara bawah 23 tahun, beliau berkata seramai 24 atlet akan membawa cabaran Malaysia pada Kejohanan Remaja Asia di Kuwait, dari 21 hingga 28 Sept ini. Riduan berkata pemilihan atlet ke kejohanan berkenaan adalah berdasarkan pencapaian pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 baru-baru ini dan mereka yang berada di ranking terbaik dalam kalangan atlet lawan pedang negara.

"Atlet-atlet tersebut akan membawa nama Malaysia, namun latihan persediaan mereka diuruskan persatuan lawan pedang negeri masing-masing. Kita harap mereka dapat menamatkan saingan pada kedudukan 10 terbaik Asia pada kejohanan itu," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain