suria

Fandi Kekal Bersama JDT

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menafikan dakwaan bahawa Fandi Ahmad dipecat sebagai ketua jurulatih pasukan Johor Darul Takzim (JDT), berkuat kuasa Isnin.

Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd Fahmy Yahya berkata pengendali berasal dari Singapura itu masih kekal bersama JDT untuk mengharungi saingan Piala Malaysia yang akan bermula 20 Ogos ini.

"Kami tidak pernah terfikir untuk memecat beliau (Fandi) seperti yang digembar-gemburkan melalui media sosial," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Mohd Fahmy melahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah pihak yang sengaja menyebarkan khabar angin itu menyebabkan timbulnya kekeliruan kepada banyak pihak.

"Malah, saya juga menerima banyak panggilan telefon termasuk dari Singapura kerana mereka ingin mendapatkan kepastian mengenai perkara itu daripada PBNJ sedangkan berita itu tidak tepat," katanya.

Beberapa portal berita sukan tempatan menerusi laman sosial facebook dan twitter hari ini, hangat membicarakan mengenai pemecatan legenda bola sepak Singapura itu sebagai ketua jurulatih JDT, namun beliau diberi jawatan sebagai pengurus pasukan berkenaan.

Laporan portal berita itu turut menyebut bahawa Cesar Ferrando Jimenez dari Sepanyol akan menggalas tugas yang dikosongkan oleh Fandi itu.

PBNJ, Fandi Ahmad, Johor Darul Takzim

Artikel Lain