suria

Suzuka Endurance: Azlan Bergandingan Dengan Takahashi

Azlan optimis mampu mencatat keputusan cemerlang minggu ini.
Azlan  optimis mampu mencatat keputusan cemerlang minggu ini.
Azlan optimis mampu mencatat keputusan cemerlang minggu ini.

PELUMBA Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman optimis mampu mencatat keputusan cemerlang apabila bakal bergandingan dengan dua pelumba bertaraf dunia di dalam pasukan Honda Team Asia bagi menghadapi saingan Suzuka 8-Hour Endurance Road Race di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun minggu ini.

Pelumba berusia 29 tahun yang sedang mendahului kelas perlumbaan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) bakal beralih ke jentera CBR1000RR untuk perlumbaan minggu ini dan akan bergandingan bersama rakan sepasukan di ARRC, Makoto Tamada serta pelumba Moto2 Kejuaraan Grand Prix Dunia (MotoGP), Yuki Takahashi.

Ini merupakan kali kedua Azlan beraksi di dalam perlumbaan Suzuka 8-Hour Endurance bersama Tamada namun kali pertama dia berpeluang untuk beraksi bersama Takahashi.

“Edisi ke-36 kejuaraan ini pasti lebih menarik. Pada tahun lepas, saya bergandingan bersama Tamada dan jurulatih Piala Impian Asia, Chojun Kameya manakala pada kali ini, saya akan bekerjasama dengan Takahashi, seorang lagi pelumba bertaraf dunia.

"Saya yakin kami dapat bekerjasama dengan baik dan turut berharap dapat menimba ilmu baru bersama mereka berdua,” katanya.

Pada masa sama, mempunyai gandingan mantap dan turut mendapat sokongan kuat Honda, keyakinan Azlan semakin meningkat untuk menamatkan perlumbaan di atas podium.

Pada tahun lepas, Honda Team Asia mensasarkan 10 kedudukan terbaik setelah berjaya menamatkan sesi kelayakan di tempat ke-10 namun malangnya perancangan pasukan tidak menjadi berikutan masalah teknikal yang dihadapi sewaktu perlumbaan namun masih mampu menamatkan saingan di tempat ke-25 daripada 58 pasukan bertanding.

“Kami optimis dengan peluang untuk menaiki podium pada tahun ini. Kali ini, kami mendapat lebih banyak sokongan daripada pengeluar dan mereka juga membekalkan banyak peralatan berteknologi tinggi yang dapat meningkatkan kuasa dan ketahanan jentera kami. Selalunya peralatan seperti ini hanya dibekalkan kepada pasukan berstatus ‘factory’ sahaja,” kata Azlan.

Mengulas tentang penampilan keduanya di dalam perlumbaan yang berprestij ini, Azlan berkata: "Perlumbaan endurance merupakan satu perlumbaan terbuka, dan itulah apa yang menarik dalam perlumbaan ini.

"Mempunyai jentera yang laju sahaja tidak menjamin kemenangan kerana perlumbaan hanya akan berakhir selepas lapan jam. Apa sahaja boleh berlaku sepanjang tempoh tersebut. Sebab itulah sesiapa sahaja mempunyai peluang untuk menaiki podium."

Artikel Lain